AS umum misi airdrop bantuan kemanusiaan di Gaza

AS umum misi airdrop bantuan kemanusiaan di Gaza

PENDUDUK Palestin berlari di sepanjang jalan ketika pesawat menggugurkan bantuan kemanusiaan di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan rancangan untuk melaksanakan misi airdrop atau menggugurkan bantuan makanan dan bekalan melalui udara di Gaza.   

Keputusan itu dibuat sehari selepas lebih 100 rakyat Palestin maut  ditembak tentera Israel ketika menunggu mendapatkan bantuan makanan.

Biden berkata, misi airdrop pertama AS di Gaza itu akan dilaksanakan dalam beberapa hari lagi, tanpa menyatakan butiran lanjut.

Setakat ini, beberapa negara lain termasuk Jordan dan Perancis sudah melaksanakan misi menghantar bantuan sedemikian melalui udara ke Gaza.  

“Kita perlu melakukan lebih banyak lagi dan AS akan berusaha  melaksanakannya.

“Ketika ini, bantuan yang tiba di Gaza tidak mencukupi,” katanya kepada pemberita. 

Biden turut memberitahu bahawa AS juga sedang mempertimbangkan menggunakan koridor maritim untuk menghantar sejumlah besar bantuan ke Gaza.  

Dilaporkan, pegawai memaklumkan misi airdrop boleh bermula seawal hujung minggu ini. 

Setakat ini, tidak dapat dipastikan jenis pesawat akan digunakan dalam misi berkenaan, namun C-17 dan C-130 dikatakan adalah paling sesuai.

Sementara itu, jurucakap White House, John Kirby menegaskan misi airdrop bantuan kemanusiaan akan menjadi `usaha yang berterusan’.

Katanya, penghantaran bantuan pertama mungkin berupa makanan tentera atau Meals Ready-to-Eat (MRE).

“Misi ini tidak akan selesai dan dilaksanakan sekali sahaja,” kata Kirby. 

Seorang pesara jeneral tiga bintang Tentera Udara AS yang pernah memerintah zon larangan terbang di utara Iraq, David Deptula menyifatkan misi airdrop adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan berkesan oleh tentera AS. 

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan sekurang-kurangnya 576,000 penduduk di Gaza atau satu perempat daripada populasi wilayah terkepung itu berdepan risiko kebuluran. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×