PALANGKARAYA: Seekor orang utan berpaut pada puncak pokok yang hampir tidak berdaun di Borneo, Indonesia, ketika kepulan asap tebal daripada kebakaran hutan di bawahnya menyelubungi kawasan itu.
Orang utan betina yang digelar Novita itu antara puluhan haiwan yang diselamatkan daripada kebakaran hutan di beberapa kawasan di Sumatera dan Borneo sejak beberapa bulan lalu, menurut rakaman video yang dikeluarkan sebuah kumpulan pemuliharaan.
Kebakaran itu menambah tekanan terhadap spesies yang sudah terancam itu, sekali gus memaksa kumpulan penyelamat tempatan menjalankan operasi berisiko tinggi bagi menyelamatkan haiwan yang mengalami masalah pernafasan akibat terhidu asap serta melecur.
Novita yang dianggarkan berusia antara tiga hingga empat tahun, kini masih menerima rawatan rapi di pusat pemulihan Nyaru Menteng di Palangkaraya, Indonesia selepas diselamatkan bulan lalu.
“Novita masih menerima rawatan rapi. Kami dimaklumkan bahawa kecederaan melecur pada tangan dan kakinya semakin pulih.
“Bagaimanapun, selepas sembuh, keadaannya mungkin tidak kembali sepenuhnya seperti sebelum mengalami kecederaan itu.
“Dia terpaksa meninggalkan habitatnya dan kami perlu menyelamatkannya, terutamanya disebabkan kebakaran,” kata Ketua Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Kalimantan Tengah, Andi Muhammad Khadafi kepada pemberita.
Novita diselamatkan Yayasan Penyelamatan Orangutan Borneo yang turut menerima beberapa ekor orang utan lain yang terperangkap dalam kebakaran hutan.
Haiwan itu ditemukan berpaut pada sebatang pokok pada penghujung September sebelum pasukan penyelamat memberikannya ubat pelali.
Pasukan berkenaan kemudian memberikan bantuan oksigen dan cecair intravena sebelum membawanya ke pusat pemulihan.
“Kami menyelamatkannya dari kawasan yang sedang terbakar. Sebelum kami tiba, dia terpaksa meredah api untuk sampai ke pokok itu dan memanjatnya.
“Akibatnya, tapak kaki dan jari kakinya melecur,” kata Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu, Jamartin Sihite.
Indonesia berdepan kebakaran hutan secara berkala ketika musim kering, di Borneo yang lazimnya memuncak antara Julai hingga September.
Kebakaran tahun ini semakin buruk, sebahagiannya disebabkan fenomena cuaca El Nino yang dijangka menjadi antara yang terkuat sejak rekod perbandingan seumpamanya mula direkodkan empat dekad lalu.
El Nino lazimnya menyebabkan kemarau teruk di Indonesia. Namun, pakar berkata, amalan tebang dan bakar serta pengeringan kawasan tanah gambut menjadikan kawasan yang sebelum ini kurang terdedah kepada kebakaran semakin mudah terbakar.
Dari Januari hingga Julai sahaja, lebih 202,000 hektar kawasan musnah akibat kebakaran, menurut angka kerajaan yang belum dikemas kini sejak itu.
Projek Nusantara Atlas yang menggunakan pemantauan satelit menganggarkan hampir 896,000 hektar kawasan telah terbakar menjelang penghujung Ogos, iaitu lebih lima kali ganda keluasan Greater London.
Kebakaran itu menyebabkan jerebu tebal di kawasan terjejas, dengan puluhan ribu kes penyakit berkaitan pernafasan dilaporkan. Kejadian itu turut mencetuskan peningkatan pencemaran udara serantau di Singapura dan Malaysia.-AFP











