TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) membuat rayuan secara langsung kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) yang bakal mengundi pada pilihan raya pertengahan penggal November ini agar menolak pentadbiran pimpinan Presiden, Donald Trump dan menerima tawaran untuk hidup bersama secara aman.
Dalam surat terbuka setebal 25 halaman itu, IRGC menggesa rakyat AS supaya sedar dan merampas semula kawalan daripada ahli politik yang korup.
Mesej itu disampaikan lima minggu sebelum pilihan raya pertengahan penggal AS dan sehari selepas perang AS-Israel terhadap Iran memasuki bulan ketujuh.
“Sekarang adalah masanya, ketika sistem politik AS berada pada tahap paling lemah,” kata IRGC dalam surat itu.
Surat itu turut menuduh pentadbiran Trump mengelirukan rakyat AS mengenai perang, program nuklear Iran dan pihak yang mengawal Selat Hormuz.
Ia turut mengisytiharkan Iran sebagai pemenang perang, mendakwa AS gagal mencapai semua matlamat yang dinyatakannya, termasuk merencatkan program nuklear Iran.
“AS dan Israel menggunakan ribuan bom dan peluru berpandu, menyerang bangunan kerajaan dan kediaman, berpuluh-puluh kemudahan pembuatan senjata yang kurang maju dan berskala rendah serta beberapa kemudahan ketenteraan yang sudah dinyahaktifkan.
“Namun, selain merosakkan beberapa bangunan berkaitan industri nuklear Iran dan sejumlah kecil tapak pertahanan udara, mereka gagal mencapai mana-mana objektif yang diisytiharkan,” menurut surat itu.
Surat itu berhati-hati membezakan antara kerajaan AS dengan rakyatnya, selain cuba mengaitkan kebimbangan pengundi dengan rakyat Iran.
IRGC mendakwa rakyat Iran dan AS, masing-masing dengan cara tersendiri menjadi mangsa kepada ahli politik korup di Rumah Putih.
“Kita berkongsi penderitaan yang sama,” menurut surat itu.
Surat berkenaan bukan percubaan pertama Iran untuk berhubung secara langsung dengan rakyat AS.
Sejak perang bermula pada 28 Februari lalu, media dan rangkaian dalam talian yang dikaitkan dengan Iran menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan video bertemakan Lego, meme dan kandungan pendek lain dalam bahasa Inggeris bagi menyampaikan mesej Teheran mengenai perang.
Ketika bercakap kepada pemberita pada Selasa, jurucakap IRGC, Hossein Mohebbi mengulangi mesej dalam surat itu dengan menuduh Trump sebagai ‘penipu tegar’ dan mendakwa sebahagian besar rakyat AS tidak mengetahui kemudaratan yang dicetuskan kempen pentadbiran Presiden AS itu.
“Saya merasakan rakyat AS tidak menyedari hakikat ini. Jika mereka mengetahui perkara sebenar, mereka pasti akan berfikir secara berbeza dan pasti akan memberi tekanan kepada kerajaan mereka,” kata Mohebbi kepada pemberita.- AGENSI











