ABU DHABI: Arab Saudi perlu memperbaiki semula hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) jika mahu membentuk pakatan ketenteraan bagi mengekang kemaraan kumpulan Houthi di Yemen.
Hubungan antara kedua-dua negara di Yemen merosot teruk pada Januari lalu selepas pasukan yang mempunyai hubungan dengan UAE, iaitu Majlis Peralihan Selatan (STC), diserang dan dikalahkan Arab Saudi.
Tindakan itu bertujuan menyekat usaha STC untuk menghidupkan semula penubuhan sebuah negara berasingan di selatan Yemen. UAE kemudian berundur dari Yemen.
Bagaimanapun, kemaraan mengejut kumpulan Houthi yang disokong Iran ke arah Selat Bab al-Mandab pada pertengahan September lalu mengubah semula keadaan geopolitik di rantau berkenaan.
Kemaraan Houthi ke selatan itu menewaskan Pasukan Penentangan Kebangsaan yang sebelum ini disokong UAE dan dipimpin Tareq Saleh, menyebabkan barisan pertahanan pasukan itu runtuh dengan pantas.
Peranan UAE dalam konflik Yemen pada masa depan turut dibincangkan dalam pertemuan di Abu Dhabi pada Ahad, yang dihadiri Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Presiden UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan serta wakil beberapa negara Arab lain.
Netanyahu didakwa menawarkan bantuan kepada Arab Saudi untuk menewaskan Houthi, namun tawaran itu mungkin sukar diterima Riyadh, terutama selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump masih belum memberi jawapan terhadap permintaan negara itu supaya Washington membantu dalam konflik di Yemen.
Pertemuan lanjut bagi membincangkan isu Yemen turut diadakan pada Selasa di Riyadh antara Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid Salman Al Saud dan Naib Presiden UAE, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan.
Pertemuan itu merupakan antara beberapa petunjuk kedua-dua negara mungkin mahu mencari jalan untuk memperbaiki semula hubungan, walaupun hanya dalam bidang tenaga.
Selepas kemaraan Houthi ke arah Selat Bab al-Mandab, yang menjadi laluan penting eksport minyak Arab Saudi, kumpulan itu kini berusaha mengukuhkan kedudukan untuk menawan bandar Taiz di barat daya Yemen.
“Pasukan Houthi melancarkan serangan secara serentak ke atas bandar itu dalam beberapa gelombang bagi melemahkan pasukan Paksi Taiz yang mempertahankan bandar berkenaan.
“Pasukan Houthi diundurkan, tetapi pada keesokan harinya mereka kembali menyerang dari arah lain,” kata Pakar Teluk dan Yemen di Badan Pemikir Pertahanan Rusi, Baraa Shiban yang baru menghabiskan masa seminggu di Taiz.
Rumah Putih secara tertutup turut menggesa UAE dan Arab Saudi mengetepikan perbezaan antara mereka serta membenarkan penubuhan satu perintah ketenteraan bersama, termasuk Briged Gergasi Selatan bagi mengekang kemaraan Houthi.
Cadangan lain termasuk menggunakan risikan Israel dan mendapatkan khidmat syarikat keselamatan swasta Israel, sesuatu yang pernah dilakukan UAE di Yemen sebelum ini, termasuk dalam beberapa operasi yang mengakibatkan kesan buruk.
Arab Saudi yang enggan bekerjasama dengan Israel, sejak sekian lama menolak usaha membantu kumpulan pemisah selatan kerana pembahagian Yemen dikhuatiri akan mengukuhkan pemerintahan Houthi di bahagian utara yang bersempadan dengan negara itu.- AGENSI











