WASHINGTON: Lapan anggota kru yang ditugaskan di kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln cuba membunuh diri ketika kapal itu menjalani penugasan yang panjang, menurut Pemangku Setiausaha Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Hung Cao.
Perkara itu didedahkan dalam surat kepada Senator, Kirsten Gillibrand dari New York pada Selasa, sebagai respons kepada pertanyaan berkenaan mengenai kebajikan anggota di atas kapal susulan kebimbangan yang semakin meningkat.
Anggota keluarga tentera yang bertugas di kapal itu sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kesihatan mental yang semakin merosot dan keadaan buruk sepanjang misi berpanjangannya di Asia Barat.
Kapal pengangkut pesawat itu yang menjalani kerahan sejak November lalu, kini dalam perjalanan pulang ke AS. BBC menghubungi Tentera Laut AS untuk mendapatkan ulasan.
Dalam suratnya, Cao berkata, lima pegawai pendeta dan beberapa pakar kesihatan mental tersedia di atas kapal bagi memenuhi keperluan rohani dan emosi kru.
Beliau berkata, lapan anggota itu terdiri daripada kru Lincoln serta pasukan udara kapal pengangkut, kumpulan penyerang dan kakitangan skuadron kapal pemusnah, kapal pemusnah pengiring dan semua skuadron penerbangan yang berada di atas kapal.
Walaupun Tentera Laut AS sebelum ini mengakui wujud masalah bekalan di kapal itu, pihaknya menafikan berlakunya krisis kesihatan mental di Lincoln yang mempunyai kira-kira 5,000 kru.
Surat Cao turut menafikan kebimbangan meluas mengenai sistem paip yang rosak dan kekurangan makanan segar, namun mengakui berlaku kegagalan paip setempat sementara serta masalah pada unit penyahgaraman osmosis berbalik. Beberapa pilihan makanan juga dikurangkan untuk tempoh singkat.
Gillibrand, anggota Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat, mengkritik respons pentadbiran Trump sebelum ini terhadap laporan mengenai keadaan buruk berkenaan, dengan menyifatkan layanan terhadap anggota tentera sebagai sama sekali tidak boleh diterima.
“Apa yang diketepikan Trump dan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth sebagai ‘berita palsu’ ternyata merupakan keadaan serius yang semakin buruk bagi anggota tentera kita.
“Anggota tentera kita dan keluarga mereka membuat pengorbanan besar setiap hari, namun presiden mengetepikan mereka dengan sikap tidak menghormati yang nyata,” katanya dalam kenyataan kepada BBC pada Rabu.
Kapal pengangkut pesawat itu meninggalkan California pada November menuju ke Laut China Selatan sebelum dihantar ke Asia Barat menjelang serangan terhadap Iran pada Februari. Kerahan yang pada asalnya dijadualkan berakhir pada Mei itu beberapa kali dilanjutkan.
Pada Ogos, kapal pengangkut pesawat USS George Washington dihantar untuk menggantikan USS Abraham Lincoln selepas kapal berkenaan menjalani kerahan selama sembilan bulan.
Anggota tentera AS singgah di Thailand dalam perjalanan pulang, mengunjungi bar, pusat beli-belah dan kawasan pantai ketika pertama kali menjejakkan kaki ke daratan sebelum meneruskan perjalanan ke AS.
Bunuh diri kekal antara punca utama kematian dalam kalangan anggota Tentera Laut dan Kor Marin AS, menurut analisis data ketenteraan oleh USNI News, manakala veteran mencatatkan kadar bunuh diri lebih tinggi berbanding rakyat AS yang tidak pernah berkhidmat dalam tentera, menurut Jabatan Hal Ehwal Veteran AS.
Satu kajian terhadap 956 anggota marin yang diterbitkan pada Januari 2025 mendapati anggota tentera di atas kapal Tentera Laut AS mengalami kadar tekanan psikologi serius paling tinggi berbanding anggota daripada cabang lain dalam ketenteraan AS.
Kajian itu menyatakan tekanan unik seperti keadaan tempat tinggal yang kurang memuaskan, bunyi bising dan jadual yang mencabar sehingga menyebabkan masa tidak mencukupi untuk tidur dan berehat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada keadaan tersebut.











