SEOUL: Korea Utara menyifatkan pembukaan jambatan jalan raya pertama yang menghubungkan sempadannya dengan Russia sebagai petanda kukuh hubungan antara kedua-dua negara semakin erat, lapor media pemerintah pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat ketika perang Ukraine terus mendekatkan hubungan antara kedua-dua negara yang dikenakan sekatan Barat itu.
Menurut Russia, jambatan yang merentasi Sungai Tumen itu dibina bagi menampung jangkaan peningkatan dalam jumlah pergerakan barangan dan penumpang, sekali gus menambah jaringan hubungan kereta api dan udara antara kedua-dua negara jiran berkenaan.
Majlis pembukaan jambatan itu pada Isnin berlangsung ketika Russia dan Korea Utara meningkatkan kerjasama ketenteraan dan ekonomi secara ketara sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraannya di Ukraine pada 2022.
“Pembinaan jambatan ini merupakan satu peristiwa penting yang memberikan dinamik baharu kepada keseluruhan kerjasama dua hala,” kata pegawai Korea Utara, Pak Thae Song, menurut agensi berita rasmi KCNA.
Video yang diterbitkan kerajaan Russia menunjukkan trak dari kedua-dua negara melintasi jambatan itu, sementara orang ramai yang berbaris di sepanjang jalan bertepuk tangan.
“Pembukaan laluan kenderaan pertama ini akan terus mengukuhkan hubungan antara negara kita yang bersahabat,” kata Perdana Menteri Russia, Mikhail Mishustin menerusi pautan video pada majlis itu.
KCNA berkata, jambatan baharu berkenaan menyediakan laluan selamat bagi pelbagai bentuk pengangkutan dan pergerakan individu, selain memperkukuh komponen infrastruktur utama bagi kerjasama ekonomi antara Korea Utara dan Russia.
Korea Utara menghantar ribuan tenteranya ke Russia pada 2024 bagi membantu menangkis serangan Ukraine di wilayah Kursk, manakala Kyiv menuduh Moscow menggunakan peluru berpandu Korea Utara dalam serangan bertubi-tubi pada waktu malam.
Kedua-dua negara menandatangani perjanjian pertahanan pada 2024 yang memperuntukkan bantuan bersama sekiranya mana-mana negara diserang.
Jumlah pelancong Russia ke Korea Utara meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun Pyongyang kadangkala menutup sempadannya dalam tempoh singkat tanpa notis awal.
Bank pusat Korea Selatan menganggarkan pada Julai, ekonomi Korea Utara berkembang lebih tiga peratus untuk tahun ketiga berturut-turut pada 2025, dengan menyifatkan peningkatan kerjasama ekonomi dengan Russia sebagai pemacu utama.
Pegawai bank itu berkata, pendapatan negara kasar Korea Utara turut menerima rangsangan daripada peningkatan mendadak pendapatan mata wang asing yang dikaitkan dengan penghantaran tenteranya ke Russia.
Sementara itu, kumpulan hak asasi Ukraine, Truth Hounds sebelum ini memberi amaran, jambatan baharu itu boleh menjadi laluan utama secara langsung bagi pemindahan tentera, briged pembinaan dan pegawai tentera Korea Utara ke Russia, sementara teknologi serta sumber Moscow mengalir ke arah bertentangan.-AFP








