RAMALLAH: Sebuah keluarga Palestin tinggal di dalam gua di kawasan gersang Masafer Yatta di Tebing Barat selepas dua rumah mereka dirobohkan tentera Israel.
Menurut Fatima Emar, isteri kepada seorang pengembala, Mohammed Emar berkata, keluarga itu pada mulanya mendirikan khemah selepas rumah yang mereka bina pada 2023 dirobohkan.
“Sekarang, kami berlindung di dalam gua. Oleh sebab gua ini sudah wujud sejak zaman dahulu, mereka tidak boleh merobohkannya dan (tentera) membenarkan kami tinggal di sini,” katanya.
Mereka memperoleh bekalan elektrik daripada panel solar dan air dari sebuah telaga menjadikan gua itu kediaman baharu bagi Emar, 33, dua isterinya bersama 11 anak mereka yang masih mengimpikan kehidupan di atas tanah.
“Kami pernah tinggal di rumah di atas tanah, tempat anda boleh melihat dunia. Tetapi, ketika ini, kami tinggal di dalam gua bawah tanah yang menyerupai kubur,” kata Emar.
Kini, anak-anaknya bermain di laman yang dibina di bahagian sisi bukit di hadapan gua,
Masafer Yatta, di bahagian selatan Tebing Barat, terkenal dengan kejadian perobohan rumah dan ketegangan kerap berlaku antara penduduk Palestin tempatan dan peneroka Israel.
Kawasan berbukit dan separa gersang itu, yang hampir keseluruhannya berada di bawah kawalan Israel menurut Perjanjian Oslo pada 1990-an, menjadi subjek dokumentari No Other Land yang memenangi Oscar pada 2024.
Tentera Israel memberikan alasan bahawa perobohan rumah dilakukan kerana pembinaan itu tidak sah di kawasan di bawah kawalan Israel. – AFP











