Bulan terbentuk dalam tempoh lima jam - Saintis AS - Utusan Malaysia

Bulan terbentuk dalam tempoh lima jam – Saintis AS

BULAN terbentuk selepas perlanggaran dasyat kira-kira 4.5 bilion tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bulan mungkin terbentuk hanya dalam tempoh lima jam selepas satu perlanggaran dahsyat yang menggegarkan sistem suria awal kira-kira 4.5 bilion tahun lalu, menurut sekumpulan saintis.

Selama beberapa dekad, pakar percaya bulan terbentuk apabila sebuah planet sebesar Marikh yang dinamakan Theia merempuh bumi yang masih muda, menyebabkan sejumlah besar batuan cair tercampak ke angkasa.

Bahan tersebut dipercayai kemudian beransur-ansur bergabung selama bertahun-tahun sebelum membentuk satelit semula jadi bumi itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, pasukan saintis dari Southwest Research Institute dan University of Arizona berkata, terdapat kemungkinan lain.

Menggunakan simulasi komputer berkuasa tinggi, para penyelidik mendapati bahawa dalam beberapa senario, bulan yang sebahagian besarnya kekal utuh terbentuk dengan sangat pantas selepas perlanggaran itu.

“Semua bergantung pada betapa panasnya bumi dan Theia sebelum perlanggaran berlaku. Hentaman itu boleh memusnahkan Theia dan menghasilkan cakera besar serpihan yang akhirnya membentuk bulan,” kata saintis planet, Dr Adeene Denton dari Southwest Research Institute .

“Namun, apabila saya menggunakan parameter yang sama seperti dalam pemodelan perlanggaran asal  termasuk struktur suhu yang sama, bulan yang masih utuh terbentuk dalam tempoh kira-kira lima jam,” tambahnya.

Penemuan itu, yang diterbitkan dalam jurnal Astrophysical Journal Letters boleh membantu menyelesaikan salah satu misteri terbesar dalam bidang sains planet  iaitu bilakah sebenarnya perlanggaran yang membentuk bulan itu berlaku.

Para penyelidik berkata, kajian berkenaan juga boleh membantu menjelaskan beberapa ciri bulan yang masih menjadi tanda tanya, termasuk perbezaan komposisinya dan jumlah bahan meruap terkandung di dalamnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini