LA PAZ: Bolivia bersetuju untuk menghapuskan semua subsidi bahan api menjelang 2027 di bawah perjanjian dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi mendapatkan bantuan kewangan bernilai AS$1.9 bilion (RM7.72 bilion).
Pada Julai lalu, IMF mengumumkan pihaknya mencapai persetujuan dengan kerajaan baharu berhaluan tengah kanan pimpinan Presiden, Rodrigo Paz mengenai pinjaman selama 36 bulan.
Pada Khamis, kerajaan mendedahkan syarat yang terkandung dalam perjanjian itu bertujuan membantu negara Andes berkenaan yang berdepan krisis terburuk dalam tempoh empat dekad untuk menstabilkan kedudukan kewangannya.
Antara syarat berkenaan ialah penghapusan subsidi bahan api besar yang menyebabkan rizab mata wang negara susut dengan ketara. Rizab yang susut itu menyababkan kerajaan kekurangan wang untuk mengimport bahan api dan barangan keperluan lain.
Tidak lama selepas memegang jawatan pada November tahun lalu, Paz mengumumkan beliau akan menghapuskan subsidi berkenaan.
Beliau melaksanakannya dengan menaikkan harga bahan api domestik supaya sejajar dengan harga antarabangsa.
Namun, apabila perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran menyebabkan harga minyak dunia melonjak, kerajaan sekali lagi menggunakan rizabnya untuk menampung perbezaan antara harga antarabangsa dengan harga domestik baharu.
Berdasarkan perjanjian dengan IMF, kerajaan tidak lagi dibenarkan mengekalkan harga bahan api pada paras rendah secara buatan.
Bagi mengurangkan kesan terhadap rakyat, kerajaan akan meningkatkan perbelanjaan untuk beberapa program sosial.
Perjanjian itu masih belum mendapat kelulusan Kongres Bolivia.
Menteri Ekonomi, Christian Morales memberitahu pemberita, Bolivia bukan mengikut tuntutan IMF, sebaliknya melakukan apa yang perlu untuk keluar daripada kemelut yang diwarisi daripada kerajaan berhaluan kiri sebelum ini.
Paz baru-baru ini menggandakan harga diesel bagi pengguna berskala besar seperti petani, dengan alasan penyeludupan bahan api merentasi sempadan menyumbang kepada kekurangan bahan api.
Kenaikan harga itu mencetuskan tunjuk perasaan, namun setakat ini belum berlaku semula protes besar-besaran antipemerintah dan sekatan jalan raya yang melumpuhkan beberapa kawasan negara itu pada Mei dan Jun. – AFP










