WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) telah menghalang 115 buah kapal komersial yang cuba memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran di bawah sekatan laut Washington kelmarin, menurut Markas Pusat AS (CENTCOM).
Jumlah itu, meningkat lima kapal berbanding kemas kini sebelumnya pada Isnin.
Sekatan itu kekal menjadi isu pertikaian ketika Washington dan Teheran menyambung semula rundingan diplomatik di luar persidangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Utusan AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, menyertai rundingan dengan Iran pada Selasa yang disifatkan Presiden Donald Trump sebagai sangat baik.
CENTCOM sebelum ini berkata, sekatan itu menyasarkan kapal yang bergerak menuju atau dari pelabuhan dan kawasan pesisir Iran, manakala kapal komersial lain di perairan serantau dibenarkan meneruskan pelayaran.
AS menyambung semula sekatan laut itu pada 14 Julai selepas sekatan terdahulu yang berlangsung dari 13 April hingga 18 Jun.
CENTCOM berkata, operasi pertama menyaksikan lebih 140 kapal yang mematuhi arahan dialih laluan, manakala sembilan kapal yang tidak mematuhi arahan ‘dilumpuhkan’.
Lebih 50 kapal komersial yang membawa bantuan kemanusiaan pula dibenarkan meneruskan perjalanan.
Operasi terbaharu itu berlangsung ketika konflik AS-Iran berterusan dan krisis berpanjangan di sekitar Selat Hormuz.
Iran berusaha mengehadkan pergerakan maritim melalui laluan itu sepanjang konflik, manakala AS berkata, pasukannya berusaha memastikan perkapalan komersial terus bergerak sambil menguatkuasakan sekatan terhadap Iran.
Selat Hormuz lazimnya menjadi laluan bagi sebahagian besar perdagangan minyak mentah dan gas dunia tetapi ditutup oleh Iran sejak tercetusnya perang yang dimulakan AS-Israel pada 28 Februari.
Gangguan berpanjangan terhadap laluan itu menjejaskan harga minyak mentah, kadar tambang kapal tangki dan kos insurans, yang akhirnya akan terus meningkatkan harga bahan api jauh di luar kawasan Teluk. – AGENSI











