‘Tsunami daratan' di Nepal buat pakar bingung

‘Tsunami daratan’ di Nepal buat pakar bingung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Umpama ‘tsunami daratan’, bencana aliran deras lumpur dan runtuhan sejauh hampir 170 kilometer merentasi lembah Bhote Koshi hingga ke Nepal Tengah bukan sahaja meratakan perkampungan dan meragut ratusan nyawa di negara itu, malah turut mencetus persoalan dalam kalangan pakar mengenai punca dan bagaimana fenomena dahsyat itu berlaku.

Negara dan organisasi dari seluruh dunia mula menyalurkan bantuan kewangan, bekalan kecemasan serta bantuan lain kepada Nepal bagi membantu negara itu menangani kesan banjir kilat luar biasa yang mengorbankan lebih 300 orang dan menyebabkan hampir 1,400 lagi masih hilang.

Bencana itu turut mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia termasuk Malaysia apabila ratusan pelancong dan warga asing yang dilaporkan berada di negara itu masih belum dapat dikesan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Luar Nepal, Shishir Khanal pada mulanya berkata, gempa bumi berkemungkinan mencetuskan tanah runtuh yang kemudiannya menghalang aliran sungai, menyebabkan air melimpah deras ke hilir selepas halangan itu akhirnya pecah.

Namun, dalam nota kemas kini, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, walaupun kejadian itu pada awalnya dilaporkan sebagai gempa bumi bermagnitud 4.4, analisis tambahan terhadap gelombang seismik berjangka panjang menunjukkan tenaga seismik itu sebaliknya berpunca daripada runtuhan glasier dan aliran lumpur serta serpihan batu.

Penilaian awal oleh Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) yang berpangkalan di Kathmandu mendapati tiada anomali”dikesan di sebelah sempadan China.

“Kami percaya runtuhan batu dan ais berlaku di Nepal, menghalang Sungai Lhende dan menyebabkan kejadian banjir berantai,” kata penganalisis penderiaan jauh dan maklumat geografi di institut antara kerajaan itu, Sarthak Shrestha kepada AFP.

Pakar Hidrologi di Universiti Texas San Antonio, Hatim Sharif berkata, satu perkara yang menarik perhatiannya ialah ketiadaan hujan sebelum kejadian.

“Keadaan itu pada asasnya menggagalkan setiap operasi sistem amaran banjir di dunia. Apabila aliran lumpur mula kelihatan, sudah terlambat untuk bertindak.

“Berlari tidak akan membantu. Cubaan melarikan diri menggunakan kenderaan juga tidak berkesan kerana lumpur dan air yang bergerak pada kelajuan tinggi membentuk gabungan maut seperti ‘konkrit cair’,” katanya.

Penyelidik Universiti Reading di Britain, Dorothy Heinrich memberitahu AFP, banjir akibat limpahan tasik glasier (GLOF) merupakan antara bahaya yang dicetuskan oleh pemanasan global di rantau berkenaan.

“Kita tahu bagaimana trend perubahan iklim berlaku di Himalaya. Terdapat keyakinan tinggi lebih banyak gelombang haba, pengunduran glasier dan pengurangan permafrost akan berlaku, dan perkara sebegini boleh mencetuskan tanah runtuh serta banjir akibat limpahan glasier,” katanya.

Dalam jangka panjang, satu langkah yang mungkin boleh diambil ialah memasang tolok aras sungai yang menghantar perubahan paras air kepada pihak berkuasa secara masa nyata, sekali gus memberi penduduk amaran antara 20 hingga 30 minit lebih awal, katanya.

Ketua Risiko Iklim dan Alam Sekitar di ICIMOD, Qianggong Zhang memberi amaran kemungkinan berlaku banjir kedua susulan halangan yang masih wujud di bahagian hulu sungai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini