NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan perhatian dan tindakan bagi menangani nasib etnik Rohingya yang terus berdepan konflik, perpindahan dan kekurangan perlindungan.
Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata hampir sedekad selepas keganasan pada 2017, keadaan Rohingya di Myanmar dan Bangladesh dan negara sekitar semakin membimbangkan.
“Rakyat Rohingya di Myanmar, Bangladesh dan seluruh rantau ini berdepan ketidakamanan semakin meruncing, ruang perlindungan semakin terhad serta peluang mendapatkan penyelesaian berkekalan yang semakin tipis,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, keadaan itu turut diburukkan oleh pengurangan pembiayaan yang menjejaskan bantuan kemanusiaan penting.
Di Myanmar, Rohingya dan masyarakat lain terus terperangkap dalam konflik serta perpindahan, selain berdepan pelanggaran hak asasi manusia serius selain pelbagai bentuk pencabulan, termasuk oleh tentera Myanmar termasuk Tentera Arakan.
“Ratusan orang awam terus terbunuh setiap tahun, manakala pergerakan dan akses bantuan kemanusiaan kekal terhad.
“Rohingya juga terdedah kepada pengambilan secara paksa, penahanan sewenang-wenangnya dan keganasan seksual,” katanya.
Guterres turut mengulangi gesaannya supaya orang awam dilindungi selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang hak asasi manusia, kemanusiaan dan pelarian antarabangsa.
Ketua PBB itu turut menghargai Bangladesh dan negara lain yang menjadi tuan rumah kepada pelarian dari Myanmar, selain menggesa semua negara memberikan perlindungan kepada mereka yang melarikan diri daripada krisis berkenaan.
“Beliau bimbang dengan peningkatan jumlah Rohingya yang terkorban di laut dan menggesa kerjasama serantau dalam operasi mencari dan menyelamat, serta tindakan membanteras pemerdagangan manusia,” katanya.– ANADOLU











