WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan memutuskan untuk mengetepikan rancangan menyerang Iran selepas 13 hari berturut-turut membedil kemudahan tenaga dan beberapa lokasi di negara itu, menurut laporan The New York Times dan Axios.
Akhbar The New York Times yang memetik pegawai pentadbiran Trump melaporkan, keputusan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan bahawa peningkatan peperangan boleh mengurangkan secara drastik stok pemintas peluru berpandu Patriot. Ia turut menyebabkan peluru pertahanan udara lain milik Pentagon semakin berkurangan di Asia Barat.
Akhbar itu berkata, Trump turut berdepan risiko tercetusnya perang lebih luas di Asia Barat, hubungan yang semakin renggang dengan sekutu-sekutu Teluk yang rapuh, dan kejutan tambahan terhadap ekonomi global.
Menurut laporan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas mesyuarat antara Trump, penasihat kanan dan anggota kanan Kabinetnya pada Jumaat.
Iran berkata, sejak Sabtu pihaknya tidak merekodkan sebarang serangan AS selepas hampir dua minggu kempen serangan berterusan.
Menurut Axios, keputusan Trump mencerminkan kesediaannya memberi lebih banyak ruang kepada diplomasi dan pengakuan tanpa kembali kepada operasi tempur berskala besar, tahap serangan AS ketika ini telah mencapai had keberkesanannya.
Menurut sumber itu, tentera AS sebelum ini menyediakan pelan bagi kemungkinan kembali melancarkan operasi tempur berskala besar.
Sepanjang dua minggu lalu, Trump dilaporkan meluluskan pelan serangan yang dikemukakan pihak tentera setiap petang, sebelum operasi dilaksanakan beberapa jam kemudian.
Namun pada Jumaat, sumber berkata, Trump menerima pelan sama untuk menyambung serangan bagi hari ke-14 tetapi tidak memberikan lampu hijau. Sebaliknya, beliau mengarahkan tentera supaya tidak meneruskan.
Tidak lama selepas mengeluarkan arahan itu, Trump memberitahu wartawan di Rumah Putih bahawa beliau masih mempunyai pilihan untuk meneruskan serangan atau meningkatkan lagi operasi, termasuk memusnahkan segala yang dimiliki Iran.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan strategi yang ‘lebih bijak’ ialah mencapai persetujuan dengan Iran.
“Kami sedang berbincang dengan mereka sekarang. Saya fikir mereka semakin serius. Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk bertindak, tetapi kami masih berbincang dengan mereka,” kata Trump.
Kabinet dan pihak tentera Israel tidak memperoleh gambaran penuh mengenai tindakan yang bakal diambil AS, menyebabkan mereka bersiap sedia menghadapi kempen pengeboman besar serta mengekalkan tahap amaran tertinggi. Pada malam Jumaat, pihak Israel dimaklumkan Trump tidak meluluskan sebarang serangan tambahan.
Iran melaporkan sekurang-kurangnya lebih 50 orang terbunuh dan lebih 500 cedera dalam serangan AS sejak awal Julai selepas memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara itu digantung susulan dakwaan Iran mencabuli MoU oleh Washington.
Iran mula menyekat Selat Hormuz selepas serangan AS dan Israel pada 28 Februari yang mendorong Washington melaksanakan sekatan ke atas pelabuhan-pelabuhan negara tersebut.
Peningkatan konflik bermula selepas AS menuduh Iran menyerang tiga kapal dagang yang melalui Selat Hormuz, sekali gus mendorong Washington melancarkan beberapa gelombang serangan ke atas sasaran ketenteraan dan inrastruktur Teheran.
AS kemudian menyerang Iran pada 12 Julai lelau tetapi Teheran membalas balik dengan pangkalan Amerika di negara-negara Teluk menjadi sasaran.
Dalam pada itu, arahan Trump untuk menghenntikan serangan itu dikeluarkan beberapa jam selepas satu delegasi Oman tiba di Teheran pada Jumaat bagi mengadakan rundingan mengenai satu pengaturan baharu untuk membuka semula Selat Hormuz.
Dua sumber serantau yang mengetahui rundingan itu berkata, kemajuan sudah dicapai dan satu perjanjian antara Oman dan Iran berkemungkinan dimeterai pada hujung minggu.
Pada Ahad, angkatan bersenjata Iran menghentikan enam kapal yang cuba melalui Selat Hormuz selepas beberapa amaran dikeluarkan dalam tempoh 24 jam sebelumnya, menurut televisyen negara Iran.










