Tentera Israel halang keluarga Palestin guna bilik air sendiri

Tentera Israel halang keluarga Palestin guna bilik air sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMM AL-KHEIR: Sebuah keluarga Palestin di Tebing Barat yang diduduki mendakwa dihalang tentera Israel daripada menggunakan bilik air milik mereka sendiri selama tiga minggu susulan ketegangan dengan penduduk penempatan Yahudi berhampiran.

Penduduk Palestin, Ikhlas al-Hathalin, 42, tinggal bersama 13 ahli keluarganya di kampung Umm al-Kheir, berhampiran penempatan Carmel.

Tandas luar rumah keluarga itu terletak di antara kediaman mereka dan sebuah rumah bergerak yang didirikan penduduk penempatan Israel kira-kira 100 meter dari rumah mereka tahun lalu.

“Tindakan mewujudkan zon tentera tertutup sementara diambil bagi meredakan keadaan melibatkan semua pihak,” kata tentera Israel kepada AFP.

Hathalin berkata, sebelum arahan itu dikuatkuasakan, penduduk penempatan Israel sering datang ke tandas berkenaan dan mengetuk pintu sambil mengarahkan mereka keluar.

“Kami kini terpaksa menggunakan tandas di pusat komuniti atau di rumah jiran. Rasa malu dan kesukaran untuk ke tandas tidak dapat digambarkan,” katanya.

Pertikaian itu memuncak awal bulan ini apabila penduduk penempatan Israel memasang sebuah buaian di kawasan antara rumah keluarga Hathalin dan tandas luar, sekali gus mencetuskan konfrontasi yang membawa kepada campur tangan tentera Israel.

Tentera Israel berkata, anggotanya yang ditempatkan di kawasan itu sering menyaksikan aktiviti menyalahi undang-undang oleh warga Israel, termasuk insiden keganasan atau tindakan yang menyasarkan penduduk Palestin dan harta benda mereka.

Hathalin berkata, arahan tentera itu turut menghalang keluarganya daripada memasuki kandang biri-biri berhampiran, yang menjadi sumber mata pencarian mereka, kecuali ketika tentera Israel berada di kawasan itu setiap tiga hingga empat hari.

Tentera Israel bagaimanapun menyatakan penutupan itu hanya bersifat sementara tanpa memaklumkan tarikh tamat, selain menegaskan keluarga berkenaan masih mempunyai akses kepada ternakan mereka.

“Kami sedang berusaha memberi tekanan kepada pihak berkuasa pendudukan, tetapi perkara ini berada di tangan penduduk penempatan, dan kerajaan Israel ketika ini sendiri ialah kerajaan yang dipimpin golongan penduduk penempatan,” kata anggota majlis kampung, Ahmed al-Hathalin.

Di belakang rumah keluarga Hathalin, lima rumah bergerak baharu didirikan sebagai sebahagian daripada penempatan baharu yang sedang berkembang di kawasan itu.

Tidak termasuk Baitulmuqaddis Timur, lebih 500,000 penduduk Israel tinggal di penempatan di Tebing Barat yang diduduki Israel sejak 1967, bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN