Serangan peluru berpandu AS bunuh orang awam di Iran - Utusan Malaysia

Serangan peluru berpandu AS bunuh orang awam di Iran

TANGKAP layar video edaran CENTCOM menunjukkan anggota tentera AS melancarkan serangan udara menyasarkan keupayaan ketenteraan Iran .- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Serangan baharu peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) pada awal Khamis mengorbankan tiga sekeluarga terma­suk seorang kanak-kanak berusia dua tahun di selatan Iran.

Menurut agensi berita Fars yang memetik Universiti Sains Perubatan Hormozgan, sera­ngan AS ke atas sebuah rumah kediaman di kawasan Chah Tangu, Pulau Qeshm  menyebabkan pasukan penyelamat dike­rahkan untuk mencari mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.

Pegawai Iran kemudian me­ngumumkan operasi mencari dan menyelamat di rumah yang musnah itu telah selesai selepas mayat tiga ahli keluarga itu iaitu bapa, ibu dan anak mereka yang berusia dua tahun ditemukan di bawah timbunan runtuhan.

Dua lagi kanak-kanak daripada keluarga berkenaan dilaporkan cedera dan dibawa ke sebuah pusat perubatan untuk menerima rawatan lanjut.

Markas Pusat AS (CENTCOM)  mengumumkan pihaknya me­lancarkan gelombang serangan besar-besaran ke seluruh Iran dengan menyasarkan puluhan lokasi ketenteraan.

CENTCOM menyifatkan serangan itu sebagai tindak balas terhadap cubaan serangan mengejut pada Rabu, apabila Iran melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah anggota tentera AS yang ditempatkan di Asia Barat.

Awal pagi semalam, Jordan­ memaklumkan pihaknya berjaya memintas lima peluru ber­pandu Iran, manakala Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa menyasarkan sebuah pangkalan udara AS di negara itu.

Bagaimanapun, CENTCOM menegaskan semua peluru berpandu tersebut berjaya dipintas.

Beberapa jam sebelum CENTCOM mengumumkan operasi berkenaan, Presiden AS, Do­nald Trump berikrar akan memberi tindak balas agresif selepas sebuah dron melanggar kapal tangki gas asli cecair (LNG) milik AS di Mesir.

“Kami akan menyerang me­reka dengan amat keras kera­na kini giliran kami untuk menye­rang. Mereka tahu ia akan berlaku,” kata Trump.

Agensi Berita Tasnim Iran melaporkan beberapa letupan menggegarkan bandar Ahvaz sehingga menyebabkan bekalan elektrik di beberapa kawasan terputus, selain melaporkan satu lagi serangan berhampiran bandar Kazerun di wilayah Fars.

Televisyen kerajaan Iran turut melaporkan letupan di Bushehr dan beberapa letupan di bandar Abadan di barat daya negara itu.

Gencatan senjata yang rapuh antara Iran dan AS runtuh hampir tiga minggu lalu, sekali gus mencetuskan semula pertukaran serangan antara kedua-dua pihak yang berlanjutan selama 13 hari berturut-turut.

Trump bagaimanapun enggan menyambung serangan untuk hari ke-14 pada Jumaat lalu selepas mendakwa pegawai kanan tentera menasihatinya supaya menamatkan kempen pengeboman itu.

Beliau kemudian mengumum­kan sedang mempertimbangkan pilihan diplomatik dan ketenteraan dalam konflik yang kini hampir memasuki bulan kelima.

Namun, konflik antara AS dan Iran kembali bergolak selepas tiga hari reda apabila Teheran melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dalam cubaan serangan mengejut terhadap pasukan Washington di Asia Barat.

Sementara itu, tentera AS dan pasukan Arab Saudi menyerang kumpulan bersenjata Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) yang disokong Iran di Iraq menyebabkan sekurang-kurangnya 20 anggotanya terbunuh.

Kementerian Pertahanan Kuwait pada Khamis memaklumkan satu serangan Iran yang mengenai sebuah bangunan milik syarikat China di utara negara itu mengorbankan seorang pekerja.

“Dalam pencerobohan  oleh Iran itu, sebuah bangunan milik syarikat China di utara negara ini menjadi sasaran, mengakibatkan seorang pekerja terbunuh dan menyebabkan kerosakan material yang teruk pada bangunan berkenaan,” menurut kenyataan kementerian itu.

Pada hari sama, kerajaan Mesir turut memaklumkan kebakaran yang berlaku sehari sebelumnya di Pelabuhan Damietta berpunca daripada serangan dron, selepas pihak berkuasa melaporkan dua kapal pengangkut muatan gas mengalami kerosakan akibat kebakaran itu.

Pejabat Presiden Majlis Menteri-Menteri Mesir dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden berkenaan berkemungkinan berpunca daripada serangan dron. Namun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN