Selat Hormuz kini aset kuasa terbesar Iran

Selat Hormuz kini aset kuasa terbesar Iran

PEMANDANGAN udara menunjukkan beberapa bot berlabuh di pesisir utara Semenanjung Musandam, Oman berhampiran Selat Hormuz.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Ketua perunding tertinggi Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menyifatkan Selat Hormuz sebagai ‘aset kuasa terbesar’ Teheran dan menegaskan rundingan untuk mencapai perjanjian akhir hanya dimulakan apabila peruntukan dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Amerika Syarikat (AS) dilaksanakan.

Katanya, kedaulatan Selat Hormuz terletak di bawah Iran dan Oman dan segala urusan trafik di laluan itu tertakluk kepada pengaturan yang ditetapkan oleh Teheran.

Beliau turut menegaskan pihaknya mempunyai hak untuk menguruskan trafik di Selat Hormuz bersama Oman dan turut memaklumkan kutipan tol akan dikenakan mulai pertengahan Ogos, apabila tempoh 60 hari yang dipersetujui sebelum ini berakhir.

“Kedaulatan Selat Hormuz terletak pada Iran dan Oman, manakala trafik di selat itu tertakluk kepada pengaturan yang ditentukan oleh Iran,” katanya menerusi televisyen kerajaan.

Menurut Timbalan Menteri Luar bagi Hal Ehwal Perundangan dan Antarabangsa, Kazem Gharibabadi, Iran juga tidak akan membenarkan negara lain menjalankan operasi membersihkan periuk api di Selat Hormuz dan menegaskan tanggungjawab itu hanya akan dilakukan oleh Teheran sendiri.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Isnin berkata, pihaknya mencapai persetujuan dengan Oman untuk membantu membersihkan selat tersebut daripada periuk api sebagai sebahagian daripada usaha bersama negara-negara sekutu.

“Operasi membersihkan periuk api hanya akan dilaksanakan secara eksklusif oleh Iran dan bukan oleh mana-mana negara lain. Pada prinsipnya, kami tidak akan membenarkan mana-mana negara lain berbuat demikian.

“Situasi ini sensitif dan rumit. Kami menasihatkan Perancis supaya tidak merumitkan lagi keadaan melalui tindakan yang bersifat provokatif,” katanya.

Pertikaian itu menambah lagi ketegangan dalam hubungan antara Iran dan Oman, selepas Teheran melancarkan dron berani mati ke arah sebuah kapal yang melalui laluan perkapalan yang disokong AS di perairan Oman pada minggu lalu. 

Serangan itu dikatakan sebagai bantahan terhadap keputusan unilateral Muscat membuka laluan alternatif di sepanjang pantainya di Selat Hormuz.

Walaupun MoU ditandatangani secara jelas menyatakan Iran akan bertanggungjawab membersihkan Selat Hormuz daripada periuk api serta membukanya semula untuk pelayaran yang selamat, pakar tentera laut AS berpendapat Teheran tidak mempunyai pengalaman atau teknologi yang diperlukan untuk menjalankan operasi tersebut secara besar-besaran.

“Perkara terbaik yang boleh dilakukan ialah Iran mengenal pasti lokasi mereka meletakkan periuk api tersebut, kemudian biar kami yang menjalankan kerja-kerja membersihkannya,” kata Felo Kanan Yayasan Pertahanan Demokrasi, Laksamana Muda (Bersara) Mark Montgomery,” katanya.

Semalam, pegawai Iran berlepas ke Doha namun Teheran menafikan dakwaan awal Presiden AS, Donald Trump bahawa akan berlangsung rundingan secara langsung antara kedua-dua negara.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei mengesahkan delegasi Iran diketuai Kazem tetapi menegaskan pegawai Iran tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengadakan rundingan dengan pihak AS di mana-mana peringkat dalam beberapa hari akan datang.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN