Ribut ragut lapan nyawa di tengah China

Ribut ragut lapan nyawa di tengah China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sekurang-kurangnya lapan maut selepas ribut petir melanda wilayah Hubei di tengah China, ketika pihak berkuasa mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat yang dijangka melanda beberapa kawasan lain di negara itu.

Menurut agensi berita Xinhua, angin kencang dengan kelajuan mencecah 149 kilometer sejam melanda bandar Huangshi, Huanggang, Ezhou dan Xianning dalam tempoh kira-kira empat jam pada malam Ahad, berdasarkan maklumat daripada pihak pengurusan kecemasan Hubei.

Sementara itu, Pusat Meteorologi Kebangsaan China memaklumkan wilayah Guangxi di tenggara serta Jiangsu dan Shandong di timur dijangka menerima hujan lebat sehingga 260 milimeter dalam tempoh 24 jam akan datang.

Keadaan itu berpotensi mencetuskan tanah runtuh, manakala beberapa kawasan di timur laut dan selatan China turut dijangka berdepan risiko puting beliung.

Hubei dan Shandong merupakan antara wilayah pertanian utama di China, dengan hujan lebat yang melanda menimbulkan kebimbangan terhadap kerosakan tanaman jagung, kacang tanah dan sayur-sayuran yang dijadual dituai lewat musim ini selepas musim menuai gandum.

Fenomena cuaca ekstrem yang semakin dipengaruhi perubahan iklim mengancam ekonomi China, dengan potensi kerugian mencecah puluhan bilion dolar setiap tahun. Sejak kebelakangan ini, kejadian banjir telah menenggelamkan bandar, mengganggu aktiviti perindustrian serta merosakkan hasil pertanian.

Pakar meteorologi mengaitkan keadaan cuaca yang semakin ekstrem itu dengan perubahan iklim.

China turut meningkatkan tahap berjaga-jaga susulan Taufan Super Bavi yang sedang bergerak merentasi Lautan Pasifik menuju ke Taiwan.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NWS) memaklumkan taufan itu membawa angin berkelajuan sehingga 290 kilometer sejam ketika merentasi Guam, Tinian, Saipan dan Rota semalam.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN