Ratusan penduduk keracunan selepas minum bekalan air

Ratusan penduduk keracunan selepas minum bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKOPJE: Pegawai kesihatan di Macedonia Utara mengisytiharkan wabak penyakit di sebuah wilayah berhampiran Skopje pada Ahad selepas ratusan orang mendapatkan rawatan akibat keracunan, dengan bekalan air disyaki menjadi punca.

Pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca langsung peningkatan jumlah pesakit di hospital di Gostivar, kira-kira 50 kilometer di barat daya ibu negara Skopje.

Namun, sejak Jumaat, mereka menasihatkan penduduk supaya tidak menggunakan bekalan air bandar itu dan pegawai hospital kini merekodkan lebih 1,500 kes gastroenteritis.

“Berikutan peningkatan jumlah pesakit gastroenteritis. Pusat Kesihatan Awam Tetovo melaporkan berlakunya wabak di kawasan perbandaran Gostivar,” kata pakar epidemiologi, Zorica Zafirovska.

Beliau menambah bahawa walaupun punca jangkitan masih belum diketahui, pakar sedang menjalankan ujian terhadap bekalan air.

Pegawai berkata, peningkatan kes gastroenteritis mula berlaku pada awal minggu lalu.

Pada Jumaat, polis berkata, mereka sedang menyiasat punca kejadian itu, tetapi percaya syarikat bekalan air tempatan mungkin telah mengepam air kumbahan terus ke dalam sistem bekalan air bandar tersebut.

Kementerian Dalam Negeri berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menjelaskan kes ini sepenuhnya, dan menambah bahawa pencemaran air minuman boleh dianggap sebagai satu jenayah.

Krisis kesihatan itu berlaku ketika suhu di negara berkenaan melebihi 35 darjah Celsius. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN