NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 180 orang cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan yang menyertai protes besar-besaran di ibu negara India bagi menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan serta reformasi terhadap sistem peperiksaan negara.
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di pusat bandar New Delhi sejak Isnin dengan Gerakan Parti Lipas Janta (CJP) berikrar meneruskan kempen sehingga Pradhan meletakkan jawatannya.
Perhimpunan itu menjadi demonstrasi terbesar dianjurkan CJP sejak gerakan berkenaan dilancarkan pada Mei lalu.
CJP yang berkembang menerusi media sosial kini mempunyai jutaan pengikut dan dilihat sebagai antara cabaran terbesar kepada pentadbiran Perdana Menteri India, Narendra Modi sejak beliau memenangi penggal ketiga pada 2024.
“Kami tidak akan berhenti. Pradhan mesti dipecat,” kata Pemimpin CJP, Ashutosh Ranka menerusi hantaran di media sosial.
Sejak Isnin, ratusan penunjuk perasaan masih berkumpul di kawasan Jantar Mantar sambil menuntut pembaharuan menyeluruh terhadap sistem pendidikan.
Polis pada Isnin melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan bagi menghalang penunjuk perasaan daripada mara ke bangunan Parlimen.
Polis Delhi memaklumkan daripada jumlah mangsa yang cedera, seramai 118 adalah anggota polis termasuk beberapa pegawai kanan.
Dalam satu kenyataan, pihak polis mengecam apa yang disifatkan sebagai tindakan ‘tidak terkawal, agresif dan ganas’ oleh kumpulan penunjuk perasaan.
Menurut kenyataan itu, kira-kira 60 penunjuk perasaan turut dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.- AFP










