KARACHI: Pihak berkuasa penerbangan Pakistan mengesahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan selepas sebuah pesawat kargo yang membawa lima anak kapal dilaporkan hilang secara misteri di pesisiran pantai Karachi, bandar di hujung selatan negara itu.
Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan memaklumkan pesawat jenis Boeing 737 itu dikesan menjunam secara mendadak sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara pada Selasa, pukul 9.21 malam (waktu tempatan).
Beberapa minit sebelum dilaporkan hilang daripada radar, pesawat dalam penerbangan dari Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuju ke Karachi itu sempat melaporkan masalah pada sistem navigasi.
Pesawat kargo itu dikendalikan oleh K2 Airways, sebuah syarikat penerbangan kargo swasta yang berpangkalan di Karachi dan ditubuhkan pada tahun 2018.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, pihak K2 Airways telah mengenal pasti identiti kesemua lima anak kapal yang berada di dalam pesawat tersebut, selain menegaskan pihaknya kini memberikan kerjasama penuh kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan dan agensi kerajaan yang lain.
“Kami terus berdoa dengan penuh harapan agar rakan sekerja kami berada dalam keadaan selamat,” jelas kenyataan syarikat itu.
Berdasarkan data awal daripada platform pengesanan penerbangan, Flightradar24, pesawat terbabit mencatatkan turun naik ketinggian yang sangat ketara sebelum dikesan menjunam tajam.
Pelbagai agensi keselamatan termasuk Tentera Laut dan Tentera Udara Pakistan telah dikerahkan ke zon lokasi kejadian bagi mengesan bangkai pesawat berkenaan.
Tragedi penerbangan besar terakhir yang pernah melanda Pakistan berlaku pada 2020 melibatkan sebuah pesawat penumpang domestik.
Dalam insiden itu, pesawat milik Pakistan International Airlines terhempas ketika sedang menghampiri Lapangan Terbang Karachi, mengorbankan 97 daripada keseluruhan 99 individu di dalam pesawat. -AGENSI










