ABU DHABI: Ratusan penumpang teruja menaiki rangkaian perkhidmatan kereta api nasional pertama Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang memulakan operasi komersialnya bagi fasa pertama projek menghubungkan 11 buah bandar di seluruh wilayah berkenaan.
Perkhidmatan sulung di negara Asia Barat itu berlepas dari Fujairah yang terletak di Teluk Oman, mengambil masa selama satu jam 45 minit bagi menempuh jarak sejauh 250 kilometer (km) untuk tiba di Stesen Bandar Mohammed Bin Zayed di Abu Dhabi.
Pihak Etihad Rail mengesahkan lebih 10,000 tiket berjaya dijual mendahului pelancaran rasmi perkhidmatan kereta api baharu tersebut.
“Kami dapat menikmati pemandangan yang biasanya tidak dapat dilihat dari jalan raya. Ada beberapa lokasi yang sememangnya tidak dapat disaksikan ketika melakukan perjalanan darat dengan kereta,” kata seorang penumpang, Gunjan Chaurasia, 42, yang memandu lebih 100 kilometer dari Dubai ke Fujairah untuk menjadi antara penumpang terawal.
Walaupun UAE terkenal dengan infrastruktur moden dan ikonik seperti bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa serta lapangan terbang paling sibuk bagi trafik penumpang antarabangsa di Dubai, ketibaan perkhidmatan kereta api penumpang masih menjadi sesuatu yang luar biasa di negara rantau Teluk itu.
Perkhidmatan Etihad Rail di UAE merupakan perkhidmatan antara bandar kedua di rantau itu, selepas Saudi Arabia Railways di Arab Saudi.
Syarikat berkenaan menjanjikan pengalaman perjalanan moden buat para pelanggannya lengkap dengan kemudahan sistem penyaman udara, perkhidmatan Wi-Fi percuma, palam kuasa serta tempat duduk yang ditempah khas. Perkhidmatan kelas premium turut ditawarkan bagi menjamin keselesaan dan kemudahan yang lebih eksklusif.
Ketua Pegawai Operasi Etihad Rail, Azza Alsuwaidi menyifatkan pelancaran ini sebagai detik bersejarah bagi negara itu.
“Pelepasan pertama dari Fujairah adalah detik di mana visi nasional bertukar menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, memberikan masyarakat cara baharu untuk saling berhubung antara satu sama lain, membuka peluang baharu serta mendekatkan mereka dengan lokasi-lokasi unik di negara ini.
“Bertahun-tahun akan datang, para penumpang hari ini pasti akan bangga untuk menyatakan mereka pernah berada di sini ketika segalanya baru bermula,” katanya.
Rangkaian berkenaan dijangka diperluaskan lewat tahun ini apabila Stesen Kereta Api Dubai dan Stesen Kereta Api Al Dhaid dijadual dibuka pada 30 September, disusuli pembukaan stesen-stesen di Al Dhafra. Menurut Etihad Rail, keseluruhan laluan berkenaan akan siap sepenuhnya penghujung Mac tahun depan dengan pembukaan stesen Sharjah.-AGENSI










