WASHINGTON: Lebih 100 anggota perkhidmatan tentera Amerika Syarikat (AS) mengalami kecederaan dalam konflik dengan Iran sejak 7 Julai lalu, namun 96 peratus daripada mereka didakwa sudah kembali bertugas.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap laporan The New York Times yang mendakwa Pentagon menyembunyikan puluhan kes kecederaan anggota tentera AS yang berlaku sepanjang perang dengan Iran.
“Walaupun hampir 100 anggota perkhidmatan mengalami tahap kecederaan tertentu sejak 7 Julai 2026, sebanyak 96 peratus sudah kembali bertugas. Mereka bertekad untuk kembali menyertai perjuangan. Sebahagian besar kecederaan yang dialami adalah gegaran otak ringan,” kata jurucakap Pentagon, Sean Parnell dalam satu hantaran di platform X.
CNN pada Isnin turut melaporkan tentera AS lambat mendedahkan maklumat mengenai kecederaan anggota, dengan alasan kelewatan itu bertujuan melindungi anggota terbabit.
Sementara itu, pihak pengantara antara AS dan Iran dilaporkan mengemukakan cadangan gencatan senjata selama 10 hari bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua negara dalam usaha membuka semula ruang rundingan.
Rumah Putih bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas sama ada ia akan menerima penghentian permusuhan itu, namun mengakui usaha diplomasi masih diteruskan.
“Ketika ini, Presiden AS, Donald Trump memberi tumpuan untuk memastikan Iran menerima balasan akibat pelanggaran memorandum persefahaman (MOU), tindakan keganasan berterusannya di Selat Hormuz serta kematian terbaharu anggota tentera AS.
“Serangan besar ini akan diteruskan sehingga Trump menentukan sebaliknya, namun rundingan antara kedua-dua negara masih berlangsung,” kata seorang pegawai AS.
Washington dilaporkan meningkatkan jumlah jet pejuang di Asia Barat ketika Trump mempertimbangkan langkah seterusnya dengan sumber berkata, puluhan pesawat pengisi minyak milik AS tiba di Israel sejak beberapa hari lalu dan penghantaran tambahan masih diteruskan.
Semalam, AS memaklumkan pihaknya melancarkan serangan baharu terhadap Iran, beberapa jam selepas media rasmi Teheran melaporkan letupan kedengaran di Bandar Abbas, Pulau Qeshm dan daerah Bemani di wilayah Hormozgan.
Iran kemudian menyasarkan beberapa lokasi pemasangan radar dan pertahanan udara AS di negara Teluk termasuk kemudahan infrastruktur data utama Amazon di Bahrain menggunakan peluru berpandu kruis. Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata, pasukannya turut memusnahkan sistem radar pertahanan peluru berpandu serta sebuah jet pejuang F-15 yang berada di dalam tempat perlindungan di Jordan serta beberapa lokasi di Kuwait.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, konflik itu kini sudah menjadi perang berskala penuh.
Menurut IRGC, pihaknya turut menyerang dan menghentikan dua lagi kapal tangki minyak yang tidak mematuhi arahan ketika cuba melalui Selat Hormuz, sebagai sebahagian usaha Teheran memperkukuh kawalannya terhadap laluan strategik itu.
Dalam perkembangan politik di Washington, pemimpin minoriti Demokrat di Senat, Chuck Schumer menggesa supaya perang terhadap Iran dihentikan dan berjanji akan memaksa pengundian baharu di Senat bagi menamatkan operasi ketenteraan.
“Senator Demokrat akan memaksa senator Republikan mengadakan satu lagi undian untuk menamatkan perang ini dan membawa pulang anggota tentera kami.
“Setiap saat Trump meneruskan peperangannya di Iran adalah satu lagi saat anggota perkhidmatan kita berada dalam bahaya. Cukuplah. Tamatkan perang ini,” tulis Schumer di X.










