BANDAR GAZA: Kos pembangunan semula Semenanjung Gaza dianggarkan tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan projek pemulihan di wilayah itu sepanjang dua dekad lalu, menurut laporan bersama terbaharu yang dikeluarkan oleh badan kebajikan Oxfam.
Kemusnahan teruk akibat perang yang berlanjutan selama lebih dua tahun telah mengorbankan sekurang-kurangnya 73,000 nyawa rakyat Palestin, mencederakan 173,000 yang lain serta menyebabkan 1.9 juta penduduk hilang tempat tinggal.
Pergolakan itu menyebabkan Semenanjung Gaza memerlukan anggaran sebanyak AS$71.4 bilion (RM292.3 bilion) untuk pemulihan, berdasarkan Penilaian Keperluan dan Kerosakan Pantas (RDNA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Kesatuan Eropah (EU)-Bank Dunia yang dikeluarkan pada April lalu.
Kadar pembangunan manusia di wilayah tersebut turut merosot ke tahap 77 tahun ke belakang, menurut laporan terbaharu oleh Oxfam, Institut Penyelidikan Dasar Ekonomi Palestin (MAS) dan Pusat Perdagangan Palestin (PalTrade). Laporan berkenaan menegaskan bahawa proses pembangunan semula Gaza tidak boleh diteruskan tanpa penglibatan secara langsung pihak Palestin.
“Pembangunan semula bukan sekadar tugas kemanusiaan, ia adalah satu usaha politik. Sebarang pelan yang dirancang di ibu negara luar biarpun disokong dana yang besar, hanya akan menjadi latihan kosmetik, sekadar satu lagi bentuk penguasaan ke atas tanah dan kehidupan rakyat Palestin.
“Sesi konsultasi kami di seluruh Gaza menyampaikan satu mesej yang sangat jelas iaitu tiada keputusan mengenai masa depan kami tanpa pembabitan kami,” kata Penyelidik Kanan MAS, Misyef Jamil.
Pada April lalu, penilaian RDNA Gaza menganggarkan kos lebih AS$71.4 bilion (RM292.3 bilion) diperlukan bagi tempoh 10 tahun akan datang untuk usaha pemulihan dan pembinaan semula Semenanjung Gaza. Laporan tersebut turut menganggarkan Gaza mengalami jumlah kerosakan dan kerugian ekonomi keseluruhan mencecah AS$57.9 billion (RM237 billion).
Penilaian itu juga mendapati sebanyak AS$26.3 bilion (RM107.6 bilion) diperlukan dalam tempoh 18 bulan pertama fasa pembangunan semula Gaza bagi memulihkan perkhidmatan asas, membina semula infrastruktur kritikal dan menyokong pemulihan ekonominya.
Menurut Oxfam yang membuat perbandingan penilaian keperluan pemulihan merentasi pencerobohan tentera Israel di Gaza sejak 2008, kos tersebut adalah tujuh kali ganda berbanding jumlah keseluruhan pembinaan semula selepas setiap siri serangan tentera Israel sepanjang dua dekad lalu.
Laporan itu memperincikan tahap kemusnahan sektor perumahan, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan selain kesan mendalam terhadap struktur budaya serta sosial yang kian terhakis susulan kemusnahan masjid, muzium selain tempat bersejarah lain. – AGENSI










