SINGAPURA: Pemangku Menteri Hal Ehwal Muslim Singapura, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim meletakkan jawatan selepas interaksinya dengan seorang wanita didapati tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan terhadap ahli politik dan anggota Parlimen.
Menurut Perdana Menteri, Lawrence Wong, Muhammad Faishal yang juga Menteri Kanan Negara bagi Kementerian Dalam Negeri meletakkan jawatannya dalam pentadbiran kerajaan, sebagai anggota Parlimen serta ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Menurut kenyataan Wong, perkara itu diketahui kira-kira sebulan lalu selepas Pejabat Perdana Menteri menerima e-mel daripada seorang wanita awam berhubung interaksinya dengan Muhammad Faishal.
Wong kemudian mengarahkan siasatan segera dijalankan, dengan kedua-dua pihak ditemu bual secara berasingan bagi mendapatkan penjelasan masing-
masing.
“Sebahagian besar interaksi antara mereka berlaku melalui mesej dalam talian, selain beberapa pertemuan ketika acara awam.
“Kedua-dua pihak kemudian membuat dakwaan gangguan terhadap satu sama lain dan perkara itu dirujuk kepada polis untuk siasatan,” kata Wong.
Namun, selepas meneliti fakta dan keadaan kes serta mendapatkan pandangan daripada Pejabat Peguam Negara, pihak berkuasa mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh mana-mana pihak. Tiada tindakan jenayah akan dikenakan terhadap kedua-duanya.
Bagaimanapun, Wong berkata, terdapat persoalan berasingan mengenai sama ada tingkah laku Muhammad Faishal memenuhi piawaian yang diharapkan daripada individu yang memegang jawatan dalam kerajaan dan anggota Parlimen.
“Selepas membuat pertimbangan terhadap perkara itu, Muhammad Faishal menerima bahawa tindakannya tidak memenuhi piawaian tersebut dan menyerahkan surat peletakan jawatan,” kata Wong.
Menteri Kanan Negara bagi Pertahanan dan Kemampanan serta Alam Sekitar, Zaqy Mohamad akan dilantik sebagai Pemangku Menteri bagi Hal Ehwal Muslim.
Menurut Wong, empat lagi anggota Parlimen dalam kawasan undi kumpulan (GRC) Marine Parade-Braddell Heights akan terus berkhidmat kepada penduduk di Kembangan.
Beliau turut mengakui sumbangan besar Muhammad Faishal sepanjang dua dekad perkhidmatan awam, termasuk memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tahan masyarakat, menyokong usaha pemulihan dan penyepaduan semula bekas pesalah, selain membantu meningkatkan kehidupan keluarga rentan.
“Beliau bekerja keras sebagai anggota Parlimen dan berkhidmat kepada penduduknya dengan penuh dedikasi. Saya berterima kasih atas segala sumbangannya,” kata Wong. – AGENSI










