WASHINGTON: Laman web Jabatan Pertahanan atau lebih dikenali Petagon yang menjejaki korban perang masih memaparkan maklumat yang tidak tepat hampir sehari selepas jumlah anggota tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh dan cedera dalam perang dengan Iran.
Bilangan anggota tentera dan cedera di laman itu dikurangkan, dalam apa yang disifatkan pegawai Pentagon sebagai gangguan data.
Ahli-ahli parti Demokrat di Dewan AS menghantar sepucuk surat kepada Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth pada lewat Khamis bagi menuntut penjelasan mengapa laman web itu mengalami masalah, selain meminta laporan penuh mengenai jumlah korban perang.
Empat kematian dan puluhan kecederaan telah hilang daripada rekod pada Khamis selepas laman web Sistem Analisis Korban Pertahanan (DCAS) sebelum ini memaparkan dengan tepat jumlah keseluruhan anggota tentera AS yang terkorban dalam perang itu sebanyak 18 orang pada awal minggu.
Empat anggota tentera itu, tiga terbunuh di Jordan dan seorang lagi di Iraq terkorban ketika operasi hujung minggu lalu.
Presiden AS, Donald Trump menghadiri upacara penghormatan pemindahan jenazah keempat-empat anggota tentera itu di Pangkalan Tentera Udara Dover di negeri Delaware pada Rabu.
Trump mengesahkan jumlah keseluruhan kematian seramai 18 anggota ketika sidang media pada Khamis tetapi memperkecilkan kepentingan angka tersebut.
“Seorang pun sudah terlalu ramai, tetapi jumlahnya ialah 18 orang, sedangkan dalam Perang Vietnam, kita kehilangan 200,000 orang,” katanya.
Bagaimanapun, rekod rasmi Pentagon menunjukkan jumlah sebenar anggota tentera AS yang terkorban dalam Perang Vietnam ialah 58,220 orang. – AGENSI










