LONDON: Trafik perkapalan melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara sejak Rabu, khususnya di laluan Oman yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas beberapa kapal diserang awal minggu ini dan Amerika Syarikat (AS) serta Iran saling melancarkan serangan baharu, menurut penganalisis.
Aliran trafik di laluan strategik itu sebelum ini mencapai paras tertinggi sejak perang bermula selepas kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada pertengahan Jun, meskipun jumlahnya masih hanya sekitar satu pertiga daripada kadar normal sebelum konflik.
Bagaimanapun, pemulihan itu kini dilihat terhenti apabila hanya enam kapal tangki komoditi melintasi selat berkenaan setakat Khamis, manakala 21 kapal menggunakan laluan itu pada Rabu, berdasarkan data Kpler.
Satu-satunya hari yang mencatatkan trafik lebih rendah sejak gencatan senjata AS-Iran ialah pada 28 Jun apabila hanya 19 kapal komoditi melintasi selat itu, sehari selepas sebuah kapal tangki diserang di luar pesisir Oman.
Presiden AS, Donald Trump pada Rabu mengisytiharkan gencatan senjata itu telah berakhir, namun masih membuka ruang untuk rundingan diteruskan.
Penganalisis berkata, laluan ke arah keamanan yang berkekalan sememangnya tidak dijangka mudah dicapai.
“Kami menjangkakan keadaan akan terus turun naik, bukan sahaja sepanjang musim panas ini, malah mungkin sehingga penghujung tahun, sehinggalah wujud sesuatu yang benar-benar konkrit antara Teheran dan Washington.
“Keadaan kini jauh lebih baik berbanding Mac dan April, tetapi selagi tiada sebarang perjanjian yang benar-benar kukuh, situasi akan terus menjadi tidak menentu,” kata Ketua Penyelidikan firma broker kapal BRS, Andrew Wilson dalam satu webinar anjuran jurnal maritim Lloyd’s List pada Khamis.
Kebanyakan kapal yang melalui Selat Hormuz sejak Rabu sama ada mematikan sistem transponder atau menggunakan laluan utara melalui perairan Iran yang memerlukan kebenaran Teheran.
Laluan selatan melalui perairan Oman yang digunakan oleh banyak kapal bukan berkaitan Iran sejak beberapa minggu lalu, sebahagian besarnya mula dielakkan sejak Rabu.
Setakat Khamis, tiada kapal dikesan menggunakan laluan itu berdasarkan data penjejakan MarineTraffic.
Bagaimanapun, laman sesawang itu hanya memaparkan kapal yang mengaktifkan sistem transponder, sekali gus tidak menolak kemungkinan terdapat kapal yang melaluinya dengan sistem berkenaan dimatikan.
Iran sebelum ini menyatakan bantahan terhadap laluan itu, manakala dua daripada tiga kapal yang diserangnya antara Isnin dan Selasa berada berhampiran laluan tersebut ketika diserang.
Secara keseluruhan, lima kapal telah diserang sejak memorandum persefahaman antara Washington dan Teheran dimeterai.
Ketua Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Arsenio Dominguez pada Rabu menggesa pemilik dan pengendali kapal supaya tidak mendedahkan kira-kira 6,000 pelaut yang masih terkandas di Teluk kepada bahaya yang tidak perlu dengan melalui Selat Hormuz.
“Kita tidak akan kembali kepada keadaan sebelum 27 Februari dan saya fikir semua orang memahami perkara itu.
“Perjanjian sementara selama 60 hari yang mempunyai sedikit jaminan sememangnya tidak cukup untuk mengubah keputusan syarikat perkapalan secara ketara,” kata Ketua Pengarang Lloyd’s List, Richard Meade, dalam taklimat pada Khamis.
Beberapa kapal tangki turut dikesan berpatah balik dalam beberapa hari kebelakangan ini ketika hampir keluar dari Selat Hormuz.
Bagaimanapun, kelonggaran sekatan yang dilaksanakan sebelum ini sekurang-kurangnya membolehkan banyak kapal yang terkandas selama berbulan-bulan di Teluk keluar dari kawasan itu.
Firma penganalisis perkapalan AXSMarine berkata, sebanyak 689 kapal dagang dikesan berada di bahagian barat Selat Hormuz pada Khamis, menurun daripada 1,061 kapal pada awal Mac.-AFP










