DUBAI: Anak kapal berjaya meninggalkan sebuah kapal yang terbakar selepas diserang di Selat Hormuz, kata agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pada Isnin, ketika Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersaing untuk menguasai laluan perairan penting itu.
Sebelum itu, agensi berkenaan melaporkan sebuah kapal terbakar kira-kira lapan batu nautika di barat laut Kumzar, Oman.
“Kapal berkenaan terkena objek peluru tidak dikenal pasti. Anak kapal meninggalkan kapal dengan selamat dan telah diselamatkan oleh sebuah bot tunda.
“Kebakaran masih belum dipadamkan dan kapal itu kini hanyut. Tiada kesan alam sekitar dilaporkan,” kata UKMTO dalam kemas kini terbaharu selepas laporan awal mereka.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebelum ini mendakwa dua kapal tangki minyak yang cuba melalui Selat Hormuz meletup dan dihentikan.
Sepanjang perang berlangsung, Iran menyekat Selat Hormuz, laluan strategik yang sebelum ini menjadi laluan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Sebagai sebahagian daripada memorandum persefahaman yang ditandatangani bersama AS, Iran perlu bekerjasama dengan Oman dalam menentukan pentadbiran masa depan laluan perairan itu.
Namun Teheran berikrar keadaan di Selat Hormuz tidak akan kembali seperti dahulu.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Iran menyerang kapal tangki yang menggunakan laluan berhampiran pantai Oman untuk melnyeberang selat berkenaan, dalam usaha memaksa kapal-kapal menggunakan perairan Iran serta membayar bayaran bagi laluan selamat.-AFP










