BEIJING: Seorang cef barbeku di barat laut China menjadi sensasi internet selepas pengguna media sosial menyedari wajahnya yang seiras dengan jutawan teknologi, Elon Musk, sekali gus mencetuskan pelbagai meme dan jenaka dalam talian.
Ma Jianping, 48, dari Tongchuan di wilayah Shaanxi, merupakan pemilik bersama dan pengusaha Restoran Yilan, tempat beliau mempamerkan kemahiran memasaknya.
Berasal dari wilayah Gansu, Jianping sebelum ini bekerja sebagai juruelektrik selama beberapa tahun sebelum beralih ke industri makanan dan minuman.
Pada 26 Julai lalu, satu video yang memaparkan Jianping menghidangkan makanan di restorannya tular di Douyin dengan meraih lebih 1.3 juta tanda suka.
Hongxing News melaporkan pelanggan sebenarnya telah lama menyedari persamaan wajah Jianping dengan Musk sebelum beliau menjadi terkenal baru-baru ini.
Kebetulan itu turut dikaitkan dengan nama keluarganya, Ma yang disebut hampir sama bunyinya dengan Musk.
Populariti Musk di peringkat global terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan nilai kekayaannya dilaporkan melepasi AS$1 trilion (RM4.08 trilion) selepas penyenaraian awam SpaceX di Amerika Syarikat (AS) pada Jun lalu, sekali gus menjadikannya individu pertama di dunia bergelar trilionair.
Jianping memberitahu media China populariti yang diraih secara tiba-tiba membuatkannya berasa malu dan gementar.
Menurutnya, perniagaan di restorannya yang sebelum ini agak lengang kini meningkat dua kali ganda, dengan ramai pelanggan datang semata-mata untuk bertemu dengannya, bergambar dan berjabat tangan.
Jianping berkata, lebih 12 pihak telah menawarkannya peluang perniagaan, namun beliau tidak bercadang untuk membuat siaran langsung di media sosial kerana mahu terus memberi tumpuan kepada restoran miliknya.
Beliau dilaporkan bekerja setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga selepas tengah malam.-AGENSI










