BRISBANE: Seorang wanita di Australia selamat melahirkan bayi kembar empat seiras dalam satu kejadian luar biasa yang disifatkan Hospital Wanita dan Royal Brisbane sebagai kehamilan yang amat berisiko tinggi.
Empat bayi perempuan berkenaan dilahirkan menerusi pembedahan caesarean ketika usia kandungan mencecah 28 minggu empat hari pada 14 Julai lalu.
Kesemua mereka merupakan kembar monozigotik, iaitu situasi di mana satu sel telur yang disenyawakan terbahagi kepada empat embrio.
Pihak hospital memaklumkan ibu kepada bayi-bayi tersebut, Jenitar Na’amoana, 34, dan suaminya, Jortham yang sebelum ini sudah mempunyai empat cahaya mata, terkejut besar apabila dimaklumkan bakal menerima kehadiran empat bayi serentak.
Pakar Perubatan Fetal Maternal dan Pakar Obstetri, Dr. Alexa Bendall yang memantau kehamilan berkenaan dari peringkat awal, menganggarkan kebarangkalian berlakunya kehamilan kembar empat identikal adalah satu dalam setiap 15 juta kehamilan.
“Malah, kebolehan kesemua bayi ini berkongsi uri yang sama adalah sesuatu yang hampir tidak pernah didengari,” kata Bendall.
Mengulas lanjut, Bendall menjelaskan kehamilan seumpama itu membawa risiko yang sangat tinggi.
Pihak hospital menahan Na’amoana di dalam wad seawal usia kandungan 25 minggu bagi membolehkan pemantauan rapi dilakukan.
“Kami sentiasa meletakkan sasaran jika kami mampu memastikan kandungannya bertahan sehingga 28 minggu, itu sudah merupakan satu kejayaan besar.
“Jadi, kejayaan melahirkan empat bayi yang comel dan sihat pada usia kandungan 28 minggu empat hari adalah satu perkara yang luar biasa. Kami amat gembira menjadi sebahagian daripada detik sejarah ini,” katanya.
Tambah Bendall lagi, Na’amoana menghadapi segala cabaran kehamilan dengan begitu tenang sejak hari pertama dan berjaya mengelak sebarang komplikasi mahupun risiko kesihatan terhadap diri serta bayi-bayinya.
Kesemua bayi comel itu dinamakan Emily, Harriet, Catherine dan Alexa iaitu sempena nama Dr. Alexa Bendall sendiri yang menyifatkan penghormatan itu sebagai satu penghargaan yang cukup indah.
Kesemua bayi berkenaan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital sehingga mencapai tempoh matang dan dilaporkan berada dalam keadaan sangat baik.
Kelahiran kembar empat secara semula jadi adalah kes yang amat jarang berlaku dengan para doktor menganggarkan nisbah kebarangkaliannya adalah sekitar satu dalam setiap 700,000 kelahiran. -AGENSI










