Iran tuduh Ukraine serang kapal di Laut Caspian

Iran tuduh Ukraine serang kapal di Laut Caspian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran menuduh Ukraine menyerang sebuah kapal dagang miliknya di Laut Caspian sehingga menyebabkan seorang kelasi maut dan seorang lagi cedera, sambil memberi amaran insiden itu tidak akan dibiarkan tanpa tindakan balas.

Tuduhan itu dibuat selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Kyiv melancarkan serangan jarak jauh di Laut Caspian terhadap kapal-kapal yang terlibat dalam penghantaran kargo ketenteraan membabitkan Iran, sekali gus menunjukkan dimensi antarabangsa dalam perang Russia-Ukraine yang semakin berkembang.

Kementerian Luar Iran berkata, serangan pada pagi Sabtu itu menyebabkan kapal berkenaan meletup, mengorbankan seorang kelasi dan mencederakan seorang lagi, menurut agensi berita rasmi IRNA.

Republik Islam itu menegaskan Iran tidak pernah campur tangan dalam konflik antara Russia dan Ukraine.

Pada Sabtu, Zelensky menerusi media sosial berkata, angkatan tenteranya mencapai hasil yang sangat kukuh menerusi serangan jarak jauh di Laut Caspian, termasuk terhadap kapal yang digunakan untuk penghantaran kargo ketenteraan membabitkan Iran, serta sebuah kapal perang.

Sementara itu, perkhidmatan perisikan Ukraine (SBU) memaklumkan menerusi Telegram serangan dron dilancarkan terhadap kapal kargo yang dikenakan sekatan antarabangsa dan digunakan untuk membawa kargo ketenteraan antara Iran dan Russia.

Menurut televisyen negara Iran, Kementerian Luar Iran memanggil kuasa usaha sementara Ukraine di Teheran pada Sabtu bagi membantah tindakan bermusuhan dan jenayah itu.

Dalam perbualan dengan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menggesa EU dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberikan tindak balas tegas terhadap serangan tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN