Iran serang Qatar, UAE, Bahrain - Utusan Malaysia

Iran serang Qatar, UAE, Bahrain

GAMBAR fail kepulan asap akibat serangan Iran di Doha. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara-negara jirannya di Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan baharu Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, AS melancarkan serangan ke atas Iran susulan serangan tentera negara itu ke atas sebuah kapal dagang yang ditinggalkan oleh beberapa anak kapalnya selepas terbakar.

Bunyi siren dan letupan dilaporkan kedengaran di Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, menurut wartawan AFP serta pihak berkuasa tempatan. 

Perkembangan itu merupakan peningkatan terbaharu dalam ketegangan sehingga mengancam perjanjian sementara antara Washington dengan Teheran, bertujuan menamatkan perang di Asia Barat yang bermula pada 28 Februari lalu .

Pentagon memaklumkan bahawa pihaknya melancarkan serangan ke atas Iran awal Ahad selepas Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal kontena berdaftar di Cyprus yang didakwa belayar melalui laluan tanpa kebenaran di Selat Hormuz.

Media Iran melaporkan letupan berlaku di Bandar Abbas, Sirik, Jask, Pulau Qeshm dan wilayah Khuzestan yang bersempadan dengan Iraq. Namun, tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa.

Beberapa jam kemudian, siren amaran serangan udara dibunyikan di Bahrain, manakala UAE dan Qatar memaklumkan bahawa mereka berjaya memintas serangan peluru berpandu Iran.

Kor Pengawal Revolusi Iran sebelum ini berkata, mereka telah menyerang dan menghentikan sebuah kapal yang mengingkari arahan berulang kali supaya menggunakan koridor perkapalan yang diluluskan, menurut agensi berita rasmi IRNA.

Walaupun Iran menyifatkan tindakan itu sebagai tembakan amaran, tentera AS mendakwa Teheran secara terang-terangan menyerang sebuah kapal kontena berbendera Cyprus yang sedang melalui Selat Hormuz.

Agensi keselamatan maritim Britain (UKMTO) berkata, anak-anak kapal telah meninggalkan kapal tersebut dan berada di dalam bot penyelamat. Insiden itu berlaku kira-kira 17 kilometer di timur Oman.

“Sebagai tindak balas, Amerika mengenakan tindakan balas yang berat dengan terus melemahkan keupayaan Iran untuk menyerang pelaut awam dan kapal-kapal komersial yang melalui selat itu secara bebas,” kata CENTCOM menerusi platform X.

CENTCOM kemudian memaklumkan bahawa tenteranya telah menyerang kira-kira 140 sasaran ketenteraan Iran dalam pusingan ketiga serangan minggu ini yang dilaksanakan atas arahan Presiden AS, Donald Trump.

Ketegangan itu mengancam perjanjian sementara yang bertujuan menamatkan perang di Asia Barat yang tercetus pada penghujung Februari selepas serangan besar-besaran AS dan Israel mengorbankan bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN