Iran lancar serangan terbesar, sasar pangkalan AS di negara Teluk - Utusan Malaysia

Iran lancar serangan terbesar, sasar pangkalan AS di negara Teluk

ASAP tebal menjulang akibat serangan Iran di Abdali, di sempadan utara Kuwait kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Tentera Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan operasi besar-besaran menggunakan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan ‘pangkalan musuh’ di seluruh rantau Asia Barat.

Serangan itu, mengakibatkan tangki simpanan bahan api dan depot peluru terbakar di Pangkalan Udara Putera Hassan di Jordan pada Isnin.

Pihak IRGC memaklumkan serangan ke atas pangkalan di Jordan itu merupakan fasa pertama tindak balas terhadap sera­ngan Amerika Syarikat (AS) ke atas pangkalan pesisir Iran, sambil memberi amaran operasi balas berkenaan masih diteruskan.

Pasukan itu turut mendakwa unit aeroangkasanya menyerang Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain, termasuk membedil kemudahan penyelenggaraan helikopter, sebuah hangar yang menempatkan pesawat rondaan maritim P-8 dan pusat kawalan serta arahan dron milik AS.

Media kerajaan Iran turut melaporkan IRGC menyasarkan dua pangkalan udara di Kuwait, ketika siri serangan balas antara Iran dan AS terus memuncak di seluruh rantau itu.

Menurut IRGC, operasi itu menyasarkan lokasi yang dikenal pasti selepas pihaknya memantau ‘pergerakan musuh’ sepanjang 48 jam lalu.

Dalam satu kenyataan, IRGC turut memaklumkan operasi tentera lautnya di Selat Hormuz menyasarkan dua kapal yang didakwa mematikan sistem pengesanan, melanggar peraturan pelayaran dan mengancam keselamatan maritim.

Perkembangan itu berlaku tidak lama selepas Iran pada Isnin memberi amaran mana-mana lokasi yang digunakan untuk melancarkan serangan terhadap negara itu akan dianggap sebagai ‘sasaran yang sah’ untuk tindakan balas ketenteraannya.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Iran menggesa negara jiran supaya tidak membenarkan wilayah atau kemudahan mereka digunakan oleh AS atau mana-mana pihak lain untuk melancarkan sera­ngan terhadap Teheran.

Kementerian itu berkata, negara jiran bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa untuk menghalang wilayah mereka daripada digunakan bagi tujuan itu.

Perkembangan itu berlaku beberapa jam selepas tentera AS mengumumkan melengkapkan satu lagi gelombang baharu serangan ke atas Iran dengan  menyatakan operasi berkenaan bertujuan melemahkan keupayaan Teheran menyasarkan kapal dagang yang melalui Selat Hormuz.

“Pasukan Markas Pusat AS (CENTCOM) menyerang sistem pertahanan udara tentera Iran, tapak radar pesisir pantai, keupayaan peluru berpandu dan dron serta bot-bot kecil,” menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X. 

Serangan tersebut mengorbankan seorang individu dan mencederakan empat yang lain di barat daya Iran pada Isnin, menurut laporan media rasmi negara itu. 

Kementerian Luar Iran mengecam keras serangan AS dan menyifatkannya sebagai pencabulan serius terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian itu turut me­nuduh Washington melanggar hampir semua peruntukan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai 25 hari lalu, selain melakukan jenayah perang dengan menyasarkan infrastruktur pengangkutan, bot nelayan, kapal kargo dan kemudahan meteorologi Iran.

Iran pada Isnin menegaskan ia tidak lagi akan mematuhi MoU itu sekiranya Washington gagal memenuhi komitmennya untuk menamatkan perang.

“Setiap kali pihak satu lagi gagal memenuhi tanggungjawabnya, kami juga tidak akan mematuhi tanggungjawab kami. Kami akan terus bertindak de­ngan cara ini,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, dalam sidang media di Teheran susulan gelombang terbaharu pertempuran antara kedua-dua negara.

Iran juga menuduh AS campur tangan dalam urusan pentadbiran Selat Hormuz dengan mendakwa tindakan itu mengembalikan ketidakstabilan di laluan perairan strategik itu dan mengganggu pelayaran perdagangan antarabangsa.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBB) Antonio Guterres menggesa AS dan Iran menghentikan  pertempuran yang tercetus dalam konflik Asia Barat dan kembali ke meja run­dingan bagi menamatkan krisis berkenaan.

Guterres secara khusus me­rujuk kepada serangan AS ke atas Iran dan tindakan Teheran menyerang kapal di Selat Hormuz dan sekutu AS di rantau Teluk.

“Serangan ini mesti dihentikan,” kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN