NEW DELHI: Dewan Negara India pada Khamis meluluskan rang undang-undang (RUU) yang membolehkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas dalang kebocoran kertas soalan peperiksaan.
Rang undang-undang itu diluluskan berikutan gelombang protes anak muda yang menuntut reformasi menyeluruh sehingga memaksa Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradha meletak jawatan.
Menerusi perundangan baharu itu, hukuman penjara maksimum bagi individu yang terlibat dalam kes kebocoran soalan peperiksaan digandakan kepada 10 tahun, manakala denda maksimum dinaikkan sehingga melebihi AS$1 juta (RM4.08 juta).
Ahli-ahli Parlimen meluluskan RUU tersebut menerusi undian suara selepas perbincangan selama beberapa jam, sehari selepas Dewan Rakyat (Lok Sabha) meluluskan RUU yang sama.
“Ini ialah isu yang menyentuh setiap ibu bapa, keluarga dan sesungguhnya setiap warga negara ini kerana anak-anak muda ini merupakan pelaburan terbesar kita,” kata Timbalan Menteri Jitendra Singh, yang sebelum ini berunding dengan pihak penunjuk perasaan ketika berucap di Dewan Negara India.
RUU itu kini hanya perlu ditandatangani oleh Presiden Droupadi Murmu sebelum dikuatkuasakan sebagai undang-undang rasmi.
Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi memberi lampu hijau terhadap hukuman yang lebih ketat itu minggu lalu.
Kelulusan tersebut menyusul selepas berminggu-minggu protes besar-besaran diadakan bagi membantah kes kebocoran soalan peperiksaan dan pelbagai kepincangan lain yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Pradhan pada Sabtu.
Protes terbaharu yang diterajui oleh gerakan dalam talian, Parti Janta Lipas (CJP) itu mendapat sokongan padu pelajar dari seluruh negara sekali gus memberi cabaran besar kepada pentadbiran Modi.
Meskipun tindakan tegas sering diambil pihak berkuasa, isu kebocoran kertas soalan terus berulang dalam peperiksaan peringkat kebangsaan mahupun negeri. – AFP










