Houthi serang loji minyak Arab Saudi - Utusan Malaysia

Houthi serang loji minyak Arab Saudi

TANGKAP layar kepulan asap akibat serangan Houthi di kilang penapisan minyak Saudi Aramco di Jizan semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Kumpulan Houthi di Yemen yang disokong Iran berkata, mereka telah melancarkan serangan bertubi-tubi menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas kemudahan minyak Arab Saudi pada Sabtu.

Ia berlaku ketika pertempuran antara sekutu serantau Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin memuncak di satu lagi medan baharu di Asia Barat.

Dalam kenyataan video, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, berkata, kumpulan itu menyasarkan kemudahan yang dikendalikan gergasi minyak Arab Saudi, Aramco di Jizan dan Yanbu serta mengancam akan memperluaskan serangan jika diserang oleh kerajaan Teluk itu.

Terdahulu, media Houthi melaporkan bahawa serangan di Jizan telah mencetuskan kebakaran. 

Satu rakaman video yang tersebar di media sosial dan disahkan oleh AFP menunjukkan kepulan asap hitam menjulang dari sebuah kilang penapisan milik Aramco di bandar itu.

Arab Saudi tidak mengulas secara langsung mengenai serangan tersebut.

Namun, pasukan pertahanan awam negara itu mengeluarkan amaran kepada penduduk di Jizan, yang terletak di pantai barat daya negara itu dan di Yanbu di bahagian utara.

Kumpulan Houthi yang disokong Iran sebelum ini menuduh sekutu AS, Arab Saudi, melakukan peningkatan yang berbahaya selepas Riyadh melancarkan serangan ke atas sasaran Houthi di Yemen pada Jumaat.

Seorang sumber keselamatan Yemen memberitahu AFP bahawa pangkalan tentera laut di bandar pelabuhan Hodeida serta sebuah kem tentera di Pulau Kamaran adalah antara sasaran serangan Arab Saudi.

Pertukaran serangan yang kembali tercetus antara sekutu Amerika dan Iran itu menandakan pembukaan satu lagi medan baharu dalam perang di Asia Barat susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran pada penghujung Februari.

Houthi Yemen telah berperang dengan kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan disokong Arab Saudi sejak 2015, dalam konflik yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa serta mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius.

Bagaimanapun, pertempuran di negara miskin di Semenanjung Arab itu sebahagian besarnya terhenti sejak gencatan senjata yang dirundingkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022.

Minggu ini, Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap negara pengeksport minyak utama itu dengan menyerang kapal tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN