JAKARTA: Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo meletakkan jawatan lebih awal ketika negara itu berdepan kelemahan mata wang dan pelbagai masalah ekonomi yang dicetuskan oleh perang di Asia Barat, menurut kerajaan pada Isnin.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menerima peletakan jawatan Perry yang telah menerajui Bank Indonesia sejak 2018, kata Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi kepada pemberita di Jakarta.
Penggal kedua Perry sepatutnya berakhir pada 2028.
Perry memaklumkan bahawa beliau meletakkan jawatan atas sebab peribadi menerusi surat peletakan jawatan yang dikemukakan pada 25 Julai. Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sebab tersebut.
Prasetyo berkata, presiden merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perry atas dedikasi beliau sepanjang kira-kira tujuh tahun menerajui Bank Indonesia.
Beliau turut memaklumkan bahawa Timbalan Kanan Gabenor Bank Indonesia, Destry Damayanti telah dilantik sebagai gabenor sementara.
Mata wang Indonesia menerima tekanan hebat akibat kenaikan kos tenaga yang berpunca daripada perang di Asia Barat.
Menurut Bloomberg News, rupiah merupakan mata wang berprestasi paling lemah di Asia, dengan penyusutannya mencecah kira-kira tujuh peratus sejak perang bermula.
Bank Indonesia telah menaikkan kadar faedah dasar sebanyak 100 mata asas setakat tahun ini kepada 5.75 peratus.
Sebagai ekonomi terbesar di Asia Tenggara yang mengimport minyak secara bersih, kerajaan Indonesia bagaimanapun menegaskan bahawa harga bahan api bersubsidi akan dikekalkan tanpa perubahan walaupun ia membebankan kewangan negara. – AFP










