NEW DELHI: India mengesahkan empat rakyatnya terbunuh dalam serangan terhadap sebuah kapal komersial berhampiran pelabuhan Odesa, Ukraine, dengan seorang lagi dilaporkan parah.
Kementerian Luar India mengecam serangan itu dan berkata, kapal MV Golden Leo diserang ketika sedang meninggalkan pelabuhan Odesa. Kapal berkenaan mempunyai lima rakyat India dalam kalangan 17 anak kapalnya.
“Berdasarkan maklumat yang ada, empat warga India maut secara tragis, manakala seorang lagi sedang dirawat di hospital dalam keadaan kritikal,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tentera laut Ukraine pada Ahad berkata, serangan peluru berpandu Russia terhadap Golden Leo, sebuah kapal kargo milik Turkiye yang membawa muatan bijirin, menyebabkan lima individu di atas kapal terbunuh, manakala lima lagi anak kapal masih hilang.
Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiga berkata, anak kapal itu terdiri daripada warga Syria dan India.
“Seorang juruterbang maritim Ukraine terbunuh, begitu juga empat anak kapal. Lapan anak kapal berjaya dipindahkan manakala lima lagi masih hilang,” katanya.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada empat warga India yang maut itu adalah antara individu yang dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
India merupakan antara penyumbang terbesar tenaga pelaut kepada industri perkapalan dagang dunia, dengan lebih 320,000 pelaut aktif pada 2025, menurut kementerian perkapalan negara itu.
Dalam kenyataannya, Kementerian Luar India berkata, tindakan menyasarkan kapal komersial, membahayakan nyawa anak kapal awam yang tidak bersalah atau menghalang kebebasan pelayaran dan perdagangan adalah sesuatu yang amat dikesali dan perlu dielakkan.
Minggu lalu, India menggesa pemilik kapal serta syarikat pengambilan pelaut supaya tidak menempatkan anak kapal warga India di kapal yang melalui Selat Hormuz, ketika pertempuran antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin meningkat.
Arahan itu dikeluarkan selepas sekurang-kurangnya dua pelaut India terbunuh dalam serangan terhadap kapal komersial seminggu sebelumnya.-AFP










