Datuk bandar antara 100 hilang akibat banjir Afghanistan

Datuk bandar antara 100 hilang akibat banjir Afghanistan

RAKAMAN video menunjukkan bangunan yang rosak ketika orang ramai berkumpul di lokasi bencana banjir di wilayah Nuristan, Afghanistan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh manakala lebih 100 lagi hilang selepas banjir melanda wilayah Nuristan di Afghanistan kelmarin, menurut pihak berkuasa.

Lumpur memenuhi kawasan yang sebelum ini menempatkan deretan kedai di tebing sungai di Parun, ibu kota wilayah itu ketika penduduk giat mencari mangsa yang hilang, termasuk datuk bandar.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Afghanistan (ANDMA) memaklumkan sebanyak 20 mayat ditemukan, manakala lebih 80 orang cedera.

Menurut agensi itu, semua mangsa dilaporkan berada di Parun dan beberapa kawasan lain di wilayah Nuristan yang bersempadan dengan Pakistan.

Pejabat Gabenor Nuristan berkata, beberapa kakitangan kerajaan termasuk datuk bandar Parun turut disenaraikan sebagai antara mereka yang masih hilang.

“Setakat ini, sembilan mayat berjaya ditemukan,” kata jurucakap Gabenor Nuristan, Feraidon Samim.

Wartawan AFP yang mengunjungi kawasan terpencil di timur laut Afghanistan bulan lalu melaporkan sebuah pasar, kedai dan beberapa bangunan lain terletak berhampiran tebing sungai di Parun.

Ketua organisasi bukan kerajaan (NGO) Shpoul di kawasan berkenaan, Ashiqullah Safi memberitahu AFP banjir itu memusnahkan sepenuhnya kawasan perbandaran selain hotel serta puluhan kedai.

Menurutnya, penduduk menjalankan usaha mencari mangsa tanpa peralatan yang mencukupi selepas arus banjir membawa batu-batu besar ke kawasan bandar.

Jurucakap utama kerajaan Afghanistan, Zabihullah Mujahid mengesahkan berlaku kematian dan kerosakan harta benda di wilayah Nuristan.

“Agensi berkaitan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan nyawa serta harta benda rakyat,” tulisnya di platform X.

ANDMA meramalkan hujan lebat dan ribut akan berterusan di beberapa wilayah, selain memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhi tebing sungai serta kawasan lain yang berisiko berlaku banjir.

Afghanistan merupakan antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim, dengan kejadian banjir semakin meningkat, menurut ketua Agensi Perlindungan Alam Sekitar negara itu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN