China bekal 400 pelancar peluru berpandu kepada Iran

China bekal 400 pelancar peluru berpandu kepada Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran dijangka menerima penghantaran pertama sehingga 400 pelancar peluru berpandu pertahanan udara mudah alih buatan China dalam tempoh beberapa minggu, ketika negara itu berusaha memperkukuh semula sistem pertahanannya susulan perang dengan Amerika Syarikat (AS).

Menurut tiga sumber yang mengetahui perjanjian itu kepada Reuters, pembelian bernilai antara AS$60 juta (RM245 juta) hingga AS$70 juta (RM286 juta) itu merupakan langkah terbesar Teheran untuk meningkatkan keupayaan pertahanan udara jarak dekat sejak tercetusnya konflik dengan AS-Israel.

Konflik berkenaan mendedahkan kelemahan Iran dalam melindungi beberapa tapak ketenteraan dan infrastruktur strategik negara itu.

Sumber berkata, kontrak tersebut melibatkan pembelian antara 300 hingga 400 sistem pertahanan udara mudah alih (MANPADS), termasuk peluru berpandu QW-12 dan FN-16 keluaran China.

Perjanjian itu ditandatangani bersama Zhongqing Baoshang International Investment, syarikat berpangkalan di Hong Kong yang bertindak sebagai pengantara antara Iran dan pembekal China, menurut sumber berkenaan.

Kementerian Luar China menafikan laporan tersebut dan menegaskan negaranya sentiasa memainkan peranan dalam menggalakkan keamanan serta menamatkan konflik.

Iran kini perlu memperkukuh semula persenjataannya selepas berbulan-bulan berdepan pertempuran, termasuk serangan AS dan Israel terhadap kemudahan berkaitan program peluru berpandu, dron serta pertahanan udaranya.

Teheran pula bertindak balas melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu balistik dan dron secara besar-besaran.

Walaupun Iran melabur besar dalam tempoh dua dekad lalu untuk membangunkan peluru berpandu, dron dan sistem radar, pakar ketenteraan berkata sistem pertahanan udara mudah alih tetap penting kerana ia boleh dipindahkan dengan pantas, dikendalikan oleh pasukan kecil dan sering diubah lokasi, sekali gus kurang terdedah berbanding sistem pertahanan udara tetap.

Sumber keselamatan Eropah mendakwa, pihak berkuasa di negaranya mengetahui beberapa rundingan kontrak melibatkan kemungkinan penjualan MANPADS siri QW kepada Iran, termasuk sistem QW-12, QW-18 dan QW-19.

Satu lagi sumber keselamatan di Asia Barat berkata, Iran sebelum ini berusaha mendapatkan peluru berpandu QW-12 dan QW-18, namun mereka tidak mengetahui sama ada perjanjian itu dimuktamadkan.

QW-12 dan FN-16 merupakan sistem peluru berpandu darat-ke-udara berpandukan inframerah yang dilancarkan dari bahu, direka untuk menyerang pesawat terbang rendah, helikopter dan dron.

Keupayaan sistem berkenaan untuk bergerak membolehkan ia ditempatkan dengan pantas di sekitar kemudahan ketenteraan, infrastruktur tenaga serta lokasi strategik lain yang sensitif.

Dua sumber risikan Barat dan seorang pegawai Iran berkata, Teheran turut meneroka penggunaan laluan darat untuk memindahkan bekalan ketenteraan buatan China serta komponen dwiguna secara lebih terselindung bagi mengurangkan risiko gangguan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN