N’DJAMENA: Chad pada Isnin menjadi negara terbaharu yang mengumumkan rancangan untuk menarik diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dengan mendakwa keberkesanan tribunal itu terhad dan tidak seimbang serta terlalu memberi tumpuan kepada negara-negara di Afrika.
Keputusan itu dibuat susulan tekanan dari Amerika Syarikat (AS), yang awal bulan ini melancarkan kempen menentang ICC.
Ia mengancam mengenakan lebih banyak sekatan dan menuduh mahkamah itu sebagai ancaman yang tidak boleh diterima.
Keputusan Chad untuk meninggalkan ICC selepas 20 tahun menjadi anggota dibuat ketika negara itu berdepan dakwaan daripada organisasi tempatan dan antarabangsa mengenai penglibatannya dalam perang di negara jiran, Sudan.
Bulan ini, Venezuela dan kerajaan tentera di Burkina Faso, Mali dan Niger turut memulakan proses untuk keluar dari ICC yang berpangkalan di The Hague, Belanda.
Mahkamah itu bertanggungjawab mendakwa individu atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Burundi dan Filipina sebelum ini juga menarik diri daripada tribunal berkenaan.
“Pengumuman Chad dibuat selepas kajian menyeluruh terhadap cara ICC berfungsi sejak mula beroperasi pada 2002 dan rekod pencapaiannya yang keberkesanannya masih terhad dan tidak seimbang,” menurut kenyataan kerajaan.
Kerajaan Chad turut menuduh ICC memberi tumpuan berlebihan kepada negara-negara Afrika.
Menurut kenyataan itu, daripada 13 siasatan yang dibuka sejak mahkamah itu mula berkuat kuasa, sembilan melibatkan negara Afrika manakala hanya empat melibatkan wilayah lain di dunia.
“Mahkamah itu ketika ini hanya mempunyai tujuh individu dalam tahanan dan enam daripadanya didakwa dalam kes yang melibatkan situasi di Afrika,” katanya.
Halaman Facebook rasmi Menteri Luar Chad, Abdoulaye Sabre Fadoul minggu lalu memuat naik kenyataan AS menggesa kerajaan di negara itu supaya mempertimbangkan semula keanggotaannya dalam ICC.
“AS menyuarakan kebimbangannya terhadap cara institusi itu berfungsi dan menggesa Chad mengkaji semula penyertaannya dalam Statut Rom,” menurut kenyataan berhubung perbualan telefon pada Khamis antara Timbalan Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Afrika, Frank Garcia, dan Abdoulaye.
Sebelum ini, tentera Sudan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuduh Chad memudahkan penghantaran senjata dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kepada kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF). – AFP










