MADRID: Bekas Perdana Menteri Sepanyol, Jose Luis Rodriguez Zapatero yang sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah, berkata pada Khamis bahawa barang kemas mewah yang ditemui penyiasat ketika menggeledah pejabatnya merupakan hadiah dari sebuah negara asing.
Zapatero, yang memimpin Sepanyol dari 2004 hingga 2011, telah diletakkan di bawah siasatan rasmi pada Mei lalu berhubung dakwaan penyalahgunaan pengaruh berkaitan penyelamatan syarikat penerbangan kecil Plus Ultra pada 2021.
Dalam satu penggeledahan polis di pejabat Zapatero, pihak berkuasa menemui barang kemas dan jam tangan mewah bernilai 1.3 juta euro (RM6 juta).
Penemuan itu menyebabkan hakim penyiasat yang mengendalikan kes tersebut menyiasat kemungkinan kesalahan tambahan termasuk penipuan cukai dan penyeludupan.
Dalam temu bual pertamanya sejak disiasat, bekas pemimpin Parti Sosialis itu memberitahu televisyen awam Sepanyol bahawa barang kemas dan jam tangan mewah tersebut diterima bertahun-tahun lalu sebagai hadiah tanda penghargaan.
“Saya tidak akan menyebut nama negara tersebut kerana sistem keadilan sepatutnya menjadi pihak pertama yang mengetahuinya,” kata Zapatero. Katanya, beliau mungkin sepatutnya menolak hadiah itu.
Kes tersebut memberi tumpuan kepada persoalan sama ada Zapatero menggunakan pengaruh politiknya untuk membantu syarikat penerbangan Plus Ultra mendapatkan bantuan kewangan sebanyak 53 juta euro (RM247 juta) pada 2021, serta sama ada beliau dan keluarganya mendapat manfaat kewangan daripada perkara itu. – AFP










