AS tidak setuju Iran kawal Selat Hormuz - Utusan Malaysia

AS tidak setuju Iran kawal Selat Hormuz

AMERIKA Syarikat tidak setuju Iran memusnahkan kapal di Selat Hormuz. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio memberitahu menteri-menteri luar Asia Tenggara pada Rabu bahawa kawalan Iran ke atas Selat Hormuz akan mewujudkan satu duluan berbahaya yang memberi kesan bukan sahaja di Asia Barat, malah di rantau lain.

Kenyataan beliau dibuat ketika Markas Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan bahawa pihaknya telah melancarkan serangan ke atas sasaran ketenteraan di Iran untuk malam ke-11 berturut-turut, dalam usaha melemahkan keupayaan negara itu mengancam perkapalan komersial di laluan perairan tersebut.

“Jika kita mewujudkan satu duluan di Asia Barat yang membolehkan sebuah negara mengawal laluan perairan antarabangsa, mengenakan bayaran tol dan memusnahkan kapal anda jika tidak membayar, kita telah mewujudkan satu duluan yang sangat berbahaya selain ia akan berulang di bahagian lain dunia, termasuk di rantau ini,” kata Rubio kepada para wakil pada perhimpunan ASEAN di Manila.

Kenyataan Rubio dibuat ketika rantau ini sedang berdepan pertindihan tuntutan wilayah oleh China dan beberapa negara anggota ASEAN di Laut China Selatan, yang juga merupakan laluan perkapalan penting bagi perdagangan global.

Ketibaan Rubio di Filipina pada pagi Selasa turut bertepatan dengan kecaman AS terhadap insiden pertembungan terbaharu antara anggota pengawal pantai China dan Filipina di perairan yang menjadi pertikaian itu.

Setiausaha Negara itu turut menegaskan bahawa AS masih terbuka kepada usaha diplomatik dengan Iran tetapi mendakwa Teheran tidak bersikap serius dalam rundingan.

“Amerika kekal terbuka dan bersedia untuk terlibat dalam rundingan serta perbincangan yang positif serta membina, dengan syarat komitmen yang dibuat dipatuhi.

“Masalah yang sedang kita hadapi ketika ini ialah mereka tidak mengambil serius rundingan tersebut.

“Jika mereka serius, kami juga akan bersikap serius. Jika tidak, kami akan melakukan apa yang perlu untuk melindungi kepentingan kami dan kepentingan sekutu-sekutu kami,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN