NEW DELHI: Aktivis terkemuka India, Sonam Wangchuk menamatkan mogok lapar selama 26 hari pada Jumaat yang dilancarkan bagi membantah kebocoran kertas soalan peperiksaan kemasukan fakulti perubatan.
Walaupun beliau menghentikan protes tersebut, siri demonstrasi yang menuntut perletakan jawatan Menteri Pendidikan dijangka berterusan sekali gus menjadi cabaran terbesar kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi untuk menangani desakan daripada golongan belia.
Dalam satu mesej video dari Hospital Medanta di Gurugram, Wangchuk, 59, yang kelihatan semakin lemah berkata kelmarin: “Saya masih hidup. Ini adalah hari ke-25 saya berpuasa. Saya telah kehilangan kira-kira 11 kilogram (kg) berat badan. Saya telah kehilangan otot, tetapi saya baik-baik sahaja.”
“Saya meminta kerajaan supaya tidak menggunakan kekerasan lagi terhadap para pelajar dan tidak memfailkan sebarang pertuduhan atau laporan polis (FIR).”
Tunjuk perasaan yang diketuai oleh pergerakan belia yang menggelarkan diri mereka sebagai Parti Lipas Janta (CJP) itu menuntut Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan meletakkan jawatan susulan insiden kebocoran soalan peperiksaan pada Mei lalu.
Skandal tersebut telah menjejaskan kira-kira dua juta pelajar dan dikaitkan dengan beberapa kes bunuh diri dalam kalangan penuntut.
Wangchuk menerusi hantaran di platform X memberitahu bahawa beliau berbuka puasa dengan kehadiran dua menteri persekutuan atas desakan puluhan ahli parlimen dan selepas siri rundingan panjang mengenai pelbagai syarat demi mengelakkan potensi keganasan di dalam negara.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai rundingan tersebut tetapi berjanji akan mendedahkan perinciannya menerusi satu rakaman video tidak lama lagi.
Pengasas CJP, Abhijeet Dipke menzahirkan penghargaan kepada Wangchuk atas keberanian dan pengorbanannya selain menegaskan protes akan terus dilangsungkan sehingga Pradhan meletakkan jawatan.
“Kami tidak akan membiarkan pengorbanan Sonam (Wangchuk) menjadi sia-sia,” katanya dalam satu perutusan video.
Selasa lalu, menteri pendidikan itu dalam kenyataan pertamanya sejak desakan perletakan jawatannya dibuat menyatakan bahawa pihak kerajaan komited untuk menangani kebimbangan itu dan mereformasi sistem peperiksaan.
Protes berskala besar ini merupakan cabaran terbesar daripada golongan belia terhadap pentadbiran Modi sejak beliau memegang tampuk pemerintahan pada 2014. Parti-parti pembangkang turut menyokong tuntutan pergerakan belia itu dan telah mengganggu sidang dewan parlimen bagi sesi monsun yang bermula minggu ini.
Para penunjuk perasaan telah menyeru agar perhimpunan di seluruh negara diadakan pada Jumaat. Ia adalah sebagai tanda solidariti kepada para pelajar yang didakwa menjadi mangsa kekerasan polis semasa perarakan melibatkan puluhan ribu penunjuk perasaan ke bangunan parlimen pada Isnin lalu meskipun kerajaan Modi menggesa mereka untuk hadir ke meja rundingan.
Ribuan penunjuk perasaan dilaporkan kembali berhimpun di tapak protes Jantar Mantar menjelang petang Khamis dengan membawa poster anti-kerajaan dan melaungkan slogan di bawah kawalan ketat pihak keselamatan.
Siri perhimpunan itu telah menyebabkan penutupan stesen-stesen kereta api bawah tanah, gangguan perkhidmatan internet mudah alih dan menjejaskan aktiviti perniagaan di pusat bandar New Delhi.
Laporan media tempatan menyatakan protes berkenaan turut merebak ke beberapa bandar lain termasuk Ranchi, Pune, Thiruvananthapuram dan Kolkata. – AGENSI










