400,000 penduduk Lubnan pulang ke rumah

400,000 penduduk Lubnan pulang ke rumah

PENDUDUK berjalan di sekitar runtuhan rumah dan premis perniagaan yang musnah dalam serangan Israel di kampung Srifa di selatan Lubnan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kira-kira 400,000 penduduk Lubnan yang melarikan diri akibat perang kembali ke kediaman masing-masing di selatan negara itu walaupun masih diselubungi ketakutan.

Lebih ramai turut dijangka pulang dalam tempoh seminggu akan datang susulan konflik selama empat bulan antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang semakin reda.

Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Sosial Lubnan, Hanine El Sayed berkata, masih ramai yang belum dapat pulang kerana rumah mereka musnah atau tidak lagi selamat didiami.

Beliau berkata, sejak Mac lalu, kira-kira sejuta penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing, dengan sebahagian besar ditempatkan di pusat perlindungan atau penempatan sementara.

Menurutnya, sekitar 40 peratus daripada mereka yang dipindahkan kembali ke bandar dan kampung masing-masing, manakala jumlah penghuni pusat perlindungan menurun kepada kira-kira 13,000 orang berbanding 37,000 sebelum ini.

El Sayed berkata, beberapa pusat perlindungan akan terus beroperasi bagi menempatkan keluarga yang masih tidak dapat pulang, selain program bantuan termasuk sokongan tunai kecemasan akan diteruskan.

Katanya, jumlah pusat perlindungan turut dikurangkan daripada 692 ketika kemuncak krisis kepada 479, selain beberapa pusat baharu dibuka di Nabatieh bagi membolehkan penduduk kekal berhampiran kawasan rumah mereka.

Beliau bagaimanapun menegaskan, angka kepulangan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana masih wujud jurang besar antara mereka yang berjaya pulang dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

“Keluarga ini sekurang-kurangnya masih mempunyai rumah untuk kembali, walaupun hanya kemudahan asas minimum. Hakikatnya, masih ada yang belum pulang menunjukkan mereka berdepan keadaan yang jauh lebih sukar.

“Dalam tempoh kira-kira seminggu lalu, kita akan mengetahui skala sebenar masalah ini, iaitu berapa ramai yang langsung tidak boleh pulang kerana rumah mereka musnah sepenuhnya,” katanya kepada Reuters.

Bagi kebanyakan penduduk, kepulangan ke rumah tidak bermakna kehidupan kembali seperti biasa. Ramai mendapati kediaman mereka rosak, bekalan elektrik dan air terhad, selain perniagaan serta sumber pendapatan turut musnah.

“Ramai penduduk di selatan Lubnan mempunyai ikatan yang sangat kuat dengan tanah mereka dan sememangnya mahu kembali untuk menuntut hak ke atas tanah itu,” kata El Sayed.

Beliau berkata, kerajaan menganggarkan Lubnan memerlukan dana berbilion dolar untuk membina semula rumah dan infrastruktur rosak, namun ketika ini negara tersebut masih belum mempunyai sumber kewangan mencukupi.

Hampir 90,000 unit rumah musnah sebahagian atau sepenuhnya akibat konflik terbaharu itu, sekali gus menambah kemusnahan besar yang berlaku susulan pertempuran terdahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN