CARACAS: Seorang wanita berjaya diselamatkan dalam keadaan masih hidup daripada timbunan runtuhan dalam satu detik dramatik selepas gempa bumi di Venezuela mengorbankan ratusan nyawa serta mengakibatkan kemusnahan besar di negara Amerika Selatan itu.
Sekurang-kurangnya 235 orang terbunuh, manakala pasukan penyelamat sedang giat mencari hampir 50,000 individu yang masih hilang susulan dua gempa bumi berturut-turut yang melanda Venezuela pada petang Rabu.
Namun, di sebalik suasana penuh duka, muncul secebis harapan apabila Graciela Mora berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan dalam keadaan sedar oleh anggota penyelamat dan sukarelawan.
Beliau turut menceritakan detik cemas yang dilaluinya kepada sebuah kamera ketika masih terbaring di atas pengusung di lokasi runtuhan.
“Apabila gempa bumi bermula, saya berpaut sekuat-kuatnya pada bingkai pintu sehingga jari saya patah,” kata Mora sambil mengecilkan matanya apabila terkena cahaya matahari buat kali pertama selepas terperangkap selama beberapa jam.
“Saya berpaut kuat, sangat kuat, sehingga semua tingkat bangunan runtuh,” tambahnya.
Sambil menghulurkan tangan kirinya, beliau dipercayai merujuk kepada seorang rakan atau ahli keluarganya yang berada di dalam bangunan itu bersamanya.
“Selepas itu saya nampak tangannya begitu, lalu saya menggenggamnya supaya dia dapat pergi dengan tenang.
“Saya langsung tidak berpeluang untuk menangis, dan sehingga sekarang saya masih belum sempat menangis,” ujarnya lagi.
Pada Jumaat, pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa di celah timbunan runtuhan selepas dua gempa bumi bermagnitud 7.2 dan 7.5 melanda dalam selang hanya 39 saat di barat ibu negara, Caracas.
Menteri Kesihatan berkata, hampir 4,300 orang cedera dalam bencana itu.
Ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal di negara yang telah lama dibelenggu kemiskinan akibat kemelut ekonomi dan politik berpanjangan selama beberapa dekad, yang mencetuskan penghijrahan berjuta-juta rakyat serta menjejaskan infrastruktur dan perkhidmatan asas negara. – AGENSI










