WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuka tirai menjelang sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS dengan menyampaikan ucapan gaya kempen politik sekali gus menukarkan upacara memperingati sejarah nasional itu menjadi medan politik bagi menonjolkan agenda penggal kedua pentadbirannya.
Ucapan yang disampaikan di National Mall, Washington itu memperlihatkan bagaimana Trump membentuk semula sambutan ulang tahun tersebut mengikut acuan politik dan elemen lakonan beliau sendiri, sehingga mengaburkan sempadan antara sambutan rasmi negara serta acara gimik ala kempen pilihan raya.
Pemimpin parti Republikan itu pada penghujung ucapannya menyentuh tentang rentetan sejarah agung AS. Namun, bahagian awal ucapannya sebahagian besar tidak tumpah seperti perhimpunan politik beliau sebelum ini, cuma disampaikan dalam nada yang lebih tenang.
“Sambil kita berdiri di ambang tahun ke-250 kemerdekaan kita, saya dengan teruja ingin mengisytiharkan bahawa AS kini sudah kembali,” kata Trump, yang mengubah suai laungan slogan kempen popularnya.
“Seperti yang anda sedia maklum, seketika lalu, kita merupakan sebuah negara yang ‘mati’. Kita telah mati. Kini, kita adalah sebuah negara yang paling hebat di mana-mana sahaja di dunia,” tambahnya.
Amerika merdeka dari British pada 4 Julai 1776.
Trump memulakan ucapan dengan menyentuh isu Asia Barat dan menggambarkan perang antara AS-Israel dengan Iran yang sebelum ini tidak popular selain dikritik hebat sebagai satu kemenangan besar buat rakyat AS.
Beliau turut menyifatkan penahanan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro oleh pihak AS pada Januari lalu sebagai salah satu serbuan ketenteraan paling hebat dalam sejarah.
Bagi isu domestik pula, beliau memuji ekonomi yang sedang berkembang pesat, selain menyerang rekod pentadbiran pendahulunya, Joe Biden sebagai ‘bencana’.
Beliau turut mendakwa berjaya menarik pelaburan masuk bernilai AS$19 trilion (RM78.15 trilion), satu angka yang jauh lebih tinggi daripada apa yang pernah didakwa oleh pentadbirannya sendiri sebelum ini.
Penyampaian Trump dilihat agak mendatar pada sebahagian besar ucapannya meskipun beliau menunjukkan lebih banyak minat dan semangat apabila menyentuh mengenai usaha baik pulih bangunan serta monumen di Washington.
“Setiap hari di bawah pentadbiran saya, kita sedang memberikan satu demi satu kemenangan bersejarah untuk rakyat AS,” kata Trump.
Ucapan tersebut sekaligus melancarkan acara Great American State Fair, sebuah festival percuma bagi menjelang ulang tahun ke-250 Perisytiharan Kemerdekaan negara itu yang dimeriahkan dengan astaka, pertunjukan udara ketenteraan, persembahan muzik dan paparan semangat patriotik. – AGENSI










