Rundingan isu Gaza temui jalan buntu

Rundingan isu Gaza temui jalan buntu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Perbincangan antara pelbagai puak Palestin dan pihak pengantara di Kaherah yang bertujuan mencapai penamatan kekal perang di Gaza menemui jalan buntu berhubung isu utama pelucutan senjata di wilayah itu.

Seorang pegawai Palestin berkata, rundingan menunjukkan kemajuan, namun menegaskan isu senjata merupakan antara perkara paling sukar untuk dipersetujui.

“Perbincangan masih diteruskan dalam suasana yang memperlihatkan perbezaan pandangan yang jelas dengan isu senjata kekal menjadi satu-satunya perkara yang masih dipertikaikan,” kata seorang sumber Palestin yang arif mengenai rundingan itu.

Menurutnya, keputusan kini bergantung kepada Israel dan pihak pengantara, merujuk kepada Mesir, Qatar dan Turkiye.

“Puak-puak Palestin bertegas sebarang pelucutan senjata mesti dikaitkan dengan pengunduran penuh Israel dari Semenanjung Gaza. Bagaimanapun, prospek itu masih dilihat jauh untuk direalisasikan,” katanya.

Pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hanya membayangkan pengunduran penuh tentera Israel dalam jangka panjang. Ketika ini, tentera Israel menguasai kira-kira 60 peratus wilayah Gaza.

Serangan Israel juga dilaporkan terus berlaku hampir setiap hari meskipun gencatan senjata diumumkan pada Oktober 2025 selepas dua tahun peperangan, berdasarkan kerangka pelan yang dibentangkan Trump. Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain atas kebuntuan semasa.

Hamas menuduh Israel gagal memenuhi komitmennya, khususnya berkaitan bantuan kemanusiaan, manakala Israel menuntut pelucutan senjata sepenuhnya ke atas pergerakan Islam itu sebelum sebarang kemajuan lanjut dapat dicapai di bawah pelan berkenaan.

Sumber Palestin turut memberitahu AFP,  wakil beberapa puak Palestin termasuk Hamas pada prinsipnya bersetuju supaya kumpulan bersenjata di Gaza menyerahkan sebahagian daripada senjata mereka kepada sebuah entiti Palestin sementara yang masih belum ditubuhkan.

Cadangan itu juga dijangka tidak akan diterima Israel, yang menuntut pelucutan senjata sepenuhnya Semenanjung Gaza bermula dengan Hamas. 

Bekas ketua Hamas, Khaled Meshaal, turut mencadangkan supaya senjata dibekukan atau disimpan, namun cadangan itu ditolak Israel

Rundingan tersebut disertai kumpulan bersenjata utama Gaza termasuk Hamas dan sekutunya, Pergerakan Jihad Islam Palestin, namun tidak melibatkan parti Fatah berpangkalan di Ramallah.— AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN