LONDON: Raja Britain, Charles III akan mendedahkan jumlah cukai peribadinya dalam usaha meningkatkan ketelusan, menurut Istana Buckingham kepada media Britain pada Sabtu, ketika kewangan keluarga diraja semakin mendapat perhatian umum.
Raja-raja Britain dikecualikan daripada membayar beberapa jenis cukai di sisi undang-undang, namun mereka secara sukarela membayar sebahagian cukai tertentu selama beberapa dekad.
Mereka juga tidak diwajibkan mendedahkan jumlah cukai yang dibayar, tetapi beberapa skandal membabitkan bekas putera yang tercemar reputasinya, Prince Andrew telah meletakkan kewangan keluarga diraja di bawah perhatian umum.
Menurut jurucakap Istana Buckingham kepada Press Association, Raja Charles III akan menjadi Raja Britain pertama yang berkongsi maklumat cukai peribadinya.
“Keputusan untuk berbuat demikian sebagai pemerintah dibuat atas kehendak Raja Charles III sendiri, sebagai sebahagian daripada perubahan yang dilaksanakan sejak baginda menaiki takhta.
“Matlamat kami adalah untuk menjelaskan semua aspek kewangan diraja dengan cara yang meningkatkan lagi kejelasan dan kebolehcapaian maklumat, sambil meletakkannya dalam konteks sejarah dan Perlembagaan. Ringkasnya, kami terus melakukan pemodenan dan penyesuaian,”
Maklumat cukai Raja Charles III akan didedahkan pada Khamis sebagai sebahagian daripada laporan tahunan akaun kewangan diraja, menurut laporan BBC.
Di bawah undang-undang Britain, raja tidak diwajibkan membayar cukai pendapatan, cukai keuntungan modal atau cukai warisan.
Bagaimanapun, sejak 1993, bermula dengan mendiang Elizabeth II, golongan pemerintah diraja secara sukarela membayar cukai pendapatan dan cukai keuntungan modal.
Sebelum menaiki takhta pada 2022, Raja Charles III juga pernah mendedahkan jumlah cukai yang dibayarnya ketika masih bergelar Putera Wales.
Keluarga diraja berusaha memulihkan imej mereka susulan pendedahan yang menjejaskan reputasi Andrew, adik lelaki Raja Charles III, yang mempunyai hubungan dengan pesalah seks Amerika Syarikat (AS) yang telah meninggal dunia, Jeffrey Epstein.
Juruaudit kerajaan mendedahkan bulan ini bahawa Andrew memperoleh pendapatan peribadi dengan menyewakan semula beberapa kotej, sambil hanya membayar sewa nominal bagi sebuah rumah agam selama lebih dua dekad.
Perbendaharaan Britain memperuntukkan bayaran tahunan yang dikenali sebagai Sovereign Grant bagi membiayai tugas rasmi keluarga diraja.
Sumber pendapatan peribadi raja termasuk estet bersejarah Duchy of Lancaster, yang merangkumi portfolio pelbagai aset termasuk tanah, hartanah dan pelaburan.-AFP










