Peluru berpandu Houthi Yemen serang Israel - Utusan Malaysia

Peluru berpandu Houthi Yemen serang Israel

KUMPULAN Houthi melancarkan peluru berpandu ke arah Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tentera Israel berkata pada Isnin bahawa ia sedang berusaha memintas sebuah peluru berpandu yang dilancarkan dari Yemen.

Kumpulan Houthi di Yemen, yang menyertai perang Asia Barat pada bulan Mac sebagai menyokong Iran, sebelum ini telah melancarkan beberapa serangan ke atas Israel.

Tentera Pertahanan Israel (IDF) menulis di Telegram bahawa pihaknya telah mengesan pelancaran peluru berpandu dari Yemen ke arah wilayah Israel, dan sistem pertahanan udara sedang beroperasi untuk memintas ancaman tersebut.

Pelancaran itu dilakukan selepas Israel melakukan serangan balas terhadap Iran.

Sebelum ini, siren amaran serangan udara bergema di Israel pada Ahad apabila tenteranya memaklumkan bahawa ia berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.

Ia merupakan serangan pertama seumpama itu sejak gencatan senjata pada April berkuat kuasa dalam perang di Asia Barat yang bermula pada 28 Februari.

Pasukan elit Kor Pengawal Revolusi Iran menyifatkan serangan itu sebagai satu amaran selepas Israel menyerang pinggir selatan Beirut pada awal hari yang sama dan mengancam akan melancarkan serangan yang lebih meluas sekiranya pencerobohan berulang.

Tentera Israel turut berkata pada Isnin bahawa ia telah menyerang sasaran di barat dan tengah Iran, ketika televisyen kerajaan Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di bandar Teheran, Tabriz dan Isfahan.

“Sebentar tadi, Tentera Udara Israel telah menyerang sasaran ketenteraan milik rejim Iran di barat dan tengah Iran,” menurut kenyataan yang disiarkan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Telegram.

Televisyen kerajaan Iran turut melaporkan bahawa beberapa letupan kedengaran di Teheran, Tabriz dan Isfahan, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai sasaran yang terjejas. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN