LONDON: Pengendali kapal tangki minyak sedang meraih keuntungan luar biasa selepas kos sewaan kapal yang melalui Selat Hormuz dan rantau Teluk hampir meningkat dua kali ganda minggu ini berikutan lonjakan permintaan.
Ia berlaku ketika trafik di laluan perairan itu mula pulih secara beransur-ansur, menurut data perkapalan dan sumber industri.
Trafik melalui selat strategik itu masih sederhana sejak Iran menamatkan sekatan de facto yang dikenakannya minggu lalu selepas bersetuju dengan gencatan senjata selama 60 hari bersama AS, sementara rundingan bagi mencapai perjanjian damai kekal untuk menamatkan perang antara kedua-dua negara masih diteruskan.
Jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz ketika ini hanyalah sebahagian kecil daripada purata harian sebanyak 125 kapal sebelum konflik tercetus pada 28 Februari lalu.
Dianggarkan sehingga 100 kapal tangki masih terkandas di dalam Teluk dengan muatan minyak di atas kapal, sekali gus menambah kekurangan kapal yang tersedia ketika pengeluar minyak mentah Timur Tengah meningkatkan eksport mereka.
Kadar sewaan kapal tangki di luar Selat Hormuz melonjak kepada AS$190,500 (RM788,716) sehari berbanding AS$106,500 (RM440,967) sehari seminggu lalu, menurut broker kapal dan sumber industri. Kadar sewaan kapal yang beroperasi di luar rantau Teluk turut mencatat peningkatan ketara.
Purata pendapatan harian bagi kapal pengangkut minyak mentah gergasi jenis VLCC pula melonjak ke paras rekod hampir AS$470,000 (RM1.9 juta) sehari bagi penghantaran kargo dari dalam Teluk yang perlu melalui Selat Hormuz, meningkat lebih AS$50,000 (RM207,041) berbanding minggu sebelumnya.
“Tuan punya kapal tangki sedang bersedia menghadapi kemasukan besar kargo minyak mentah dari Asia Barat dalam beberapa minggu akan datang.
“Namun mereka lebih yakin kerana pendapatan setara sewaan masa masih mencatat purata melebihi AS$100,000 (RM414,057) sehari walaupun jumlah kargo berkurangan sejak permusuhan antara AS dan Iran bermula.
“Ini menunjukkan bekalan kapal tangki masih sangat ketat dan pembukaan semula Selat Hormuz akan terus mengetatkan kapasiti yang tersedia,” menurut firma broker kapal Clarksons dalam satu nota penyelidikan.
Pengeluar minyak Asia Barat, khususnya Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), menawarkan minyak mentah menerusi pelbagai tender sepanjang bulan ini dan menggesa pembeli memuatkan kargo dari dalam Teluk, sekali gus merangsang permintaan terhadap kapal tangki.
Kumpulan perkapalan Sinokor Merchant Marine Co. Ltd. dari Korea Selatan, salah satu pengendali kapal tangki gergasi terbesar dunia, tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan komen.
Kapal tangki super Belgium B milik syarikat itu memasuki Teluk pada Isnin dan menjadi antara kapal terbaharu kumpulan tersebut yang berusaha mendapatkan muatan. Data penjejakan kapal MarineTraffic menunjukkan kapal itu sedang belayar menuju terminal minyak di Iraq.
Walaupun kadar sewaan kapal meningkat, kos insurans risiko perang telah menurun dalam tempoh lima hari lalu kepada sekitar tiga peratus daripada nilai kapal, berbanding kira-kira lima peratus lebih seminggu lalu, tidak termasuk diskaun, menurut sumber industri insurans.
Penurunan itu bermakna pengurangan kos insurans sebanyak ratusan ribu dolar bagi setiap kapal.
Pembeli di India, termasuk syarikat penapisan minyak terbesar negara itu, Reliance Industries sedang giat mendapatkan bekalan minyak mentah dari rantau Asia Barat selepas berbulan-bulan berdepan gangguan bekalan.
Reliance bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen oleh Reuters.










