TEHERAN: Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, menegaskan Selat Hormuz akan ditadbir Teheran, lapor media kerajaan semalam, susulan rundingan yang bertujuan menamatkan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap republik Islam itu.
Iran dan AS kelmarin dilaporkan bersetuju untuk mewujudkan saluran komunikasi bagi memastikan laluan perkapalan strategik kekal terbuka serta menghentikan pertempuran di Lubnan.
Menurut pengantara, keputusan itu dibuat selepas pusingan pertama rundingan di Switzerland ke arah menamatkan konflik yang melanda Asia Barat.
“Selat Hormuz tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang dan akan ditadbir oleh Republik Islam Iran, selaras dengan undang-undang antarabangsa,” kata Ghalibaf yang menjadi anggota delegasi negaranya di Switzerland, menurut IRNA.
Rundingan itu diadakan selepas AS melakukan gencatan senjata sejak 8 April setelah melancarkan serangan bersama Israel ke atas Teheran pada 28 Februari lalu sehingga membunuh Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.
Sementara itu, dalam video yang dimuat naik ke akaun Telegramnya, Ghalibaf berkata, rundingan di pusat peranginan mewah Burgenstock, Switzerland, menghasilkan ‘pencapaian yang baik’.
“Pada pandangan saya, lawatan ini membawa hasil yang baik, khususnya berkaitan perbincangan mengenai Selat Hormuz, Lubnan, isu pengecualian minyak dan perkara berkaitan pelepasan dana yang dibekukan,” katanya.
Dalam pada itu, AS pada Isnin turut menggantung sementara sekatan terhadap minyak Iran sehingga 21 Ogos selepas Naib Presidennya, JD Vance, berkata, Teheran akan membenarkan pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kembali ke negara itu susulan rundingan tersebut.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Teheran turut dijangka menerima beberapa bentuk kelonggaran sekatan daripada Washington, selain pembekuan aset yang akan dicairkan.
Bagaimanapun, Iran pada Selasa berkata, pemeriksa daripada badan pemantau nuklear PBB tidak akan diberikan akses ke tapak-tapak nuklearnya yang dibom semasa perang dengan Israel dan AS tahun lalu.
“Kami tidak mengadakan sebarang pertemuan dengan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), dan kami juga tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membenarkan agensi itu memeriksa kemudahan nuklear Iran yang rosak akibat pencerobohan ketenteraan Amerika dan rejim Zionis,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, dalam sidang media di Teheran yang dihadiri AFP.
Pada Jun tahun lalu, perang selama 12 hari antara Israel dan Iran yang kemudian turut melibatkan AS sehingga menyebabkan Washington mengebom tiga kemudahan nuklear di Fordow, Natanz dan Isfahan.
Sementara itu, rundingan teknikal antara Iran dan AS di Switzerland telah berakhir, selepas bermula pada Ahad dengan kumpulan-kumpulan perunding khas akan ditubuhkan bagi membincangkan isu nuklear dan sekatan, menurut laporan media rasmi Iran pada Selasa.
“Sudah tentu, kami percaya bahawa kita masih di peringkat awal kerja dan perlu meneruskan usaha,” kata Ghalibaf dalam rakaman video tersebut.
Media kerajaan Iran melaporkan, Ghalibaf turut singgah di Oman, negara yang berkongsi sempadan Selat Hormuz.
Selat Hormuz sebelum ini dibuka semula minggu lalu selepas Washington dan Teheran mencapai persetujuan. Namun , Iran mengumumkan pada Sabtu bahawa ia kembali menutupnya sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Lubnan.
Sejak itu, Teheran dan Washington bersetuju untuk mewujudkan saluran komunikasi bagi mengelakkan insiden dan salah faham dengan tujuan memastikan laluan selamat bagi kapal komersial melalui perairan berkenaan. – AGENSI










